January 30, 2023

Datang tuntut hutang di rumah si mati, urusan pengebumian jadi kecoh

1 min read

Keadaan yang agak kecoh di depan rumah si mati dek kerana perbuatan wanita berkenaan meminta hutang.

Pengebumian jenazah seorang penduduk Kampung Bontoloe, Galesong di Takalar, Sulawesi Selatan tergendala gara-gara, tindakan sepupunya yang menuntut keluarga menjelaskan hutang si mati.

Malah, wanita itu turut melarang penduduk memandikan jenazah Rusli Daeng Sutte, 39, sehingga menimbulkan kekecohan.

Kejadian itu tular di media sosial Indonesia dan menimbulkan pelbagai reaksi.

Tribunnews melaporkan wanita dikenali Daeng Ngembong hadir ketika jenazah Rusli sedang diuruskan dan melarang dimandikan kerana masih berhutang Rp2 juta (RM602) dengan suaminya, namun dia tidak menunjukkan bukti.

Ketua Kampung Kardi Situju memaklumkan insiden itu berlaku pada jam 1030 pagi, 25 April lalu.

“Tujuannya menagih hutang suaminya, sementara jenazah mahu dimandikan.

“Penduduk dan keluarga si mati berunding dengan wanita terbabit untuk memberi laluan kepada urusan pengebumian, namun berlaku kekecohan hingga urusan tertangguh dan wanita itu dibawa ke rumah seorang penduduk untuk ditenangkan.

“Tidak lama kemudian, seorang ahli keluarga si mati berjumpa wanita itu untuk membayar hutang terbabit berjumlah Rp 2 juta. Namun menurut isteri si mati, arwah hanya berhutang Rp 500,000 rupiah (kira-kira RM150),” katanya.

Susulan kejadian, Setiausaha Majlis Ulama Indonesia (MUI) Sulawesi Selatan bersuara dengan mengatakan, mana-mana individu tidak boleh menghalang proses pengebumian jenazah seseorang dengan alasan si mati belum melunaskan hutang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *