Pengeluaran khas KWSP nyata beri kelegaan kepada orang ramai
2 min readAidilfitri yang disambut pada tahun ini akan menjadi lebih menarik kerana ramai yang akan menyambutnya bersama dengan wang RM10,000 pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diluluskan kerajaan bulan lepas.
Pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu siaran langsung sidang media khas pada 16 Mac yang lepas.
Bagi pencarum yang diberi peluang untuk membuat pengeluaran khas wang mereka, mereka amat bersyukur dan kebetulan pula tahun ini, sambutan Aidilfitri diadakan tanpa satu pun sekatan akibat pandemik COVID-19 dan semua pergerakan dibenarkan.
Hari raya akan disambut esok pada 2 Mei. Sejak semalam pula, lebuh raya sudah sesak dengan kenderaan orang ramai yang teruja untu pulang ke kampung selepas dua tahun tidak dapat berhari raya dengan sempurna.
Bersempena sambutan Aidilfitri, tol percuma diberikan kepada pengguna untuk tempoh empat hari bermula pada jam 12 tengah malam 30 April (Sabtu) hingga 11.59 malam 1 Mei 2022 (Ahad) dan pada jam 12 tengah malam 7 Mei (Sabtu) hingga jam 11:59 malam 8 Mei ini (Ahad).
Berkaitan pengeluaran khas KWSP berkenaan, ada video yang dihasilkan menunjukkan orang ramai yang membuat pengeluaran KWSP berkenaan begitu bersyukur dengan kemudahan berkenaan.
Mereka sudah merancang mahu menggunakan duit berkenaan untuk menjelaskan hutang yang tertunggak, membaiki rumah, membeli kelengkapan rumah serta membuat persiapan hari raya.
“Saya hendak baiki rumah saya, paip bocor, lampu terbakar dan lain-lain lagi lah, balance baru saya nak simpan untuk kegunaan masa akan datang, belanja raya sikit,” kata lelaki yang ditemui di dalam video berkenaan.
Ada juga yang mahu membuat persiapan hari raya dengan lebih meriah termasuk memberi duit raya kepada ibu bapa menggunakan wang KWSP berkenaan.
Jelas, pengeluaran khas KWSP yang diumumkan oleh Ismail Sabri benar-benar memberi kelegaan kepada orang ramai yang sebelum ini amat terkesan dengan pandemik COVID-19 sejak tahun 2020 sehingga pendapatan terjejas dan ada yang dibuang kerja.
Bagaimanapun, kepada semua yang buat pengeluaran diingatkan supaya berjimat cermat dalam berbelanja dan mengkhaskan sedikit wang yang ada untuk simpanan untuk kecemasan pada masa akan datang. – SEPATAH DUA