March 23, 2023

Rumah sudah tiada dihanyut banjir, hanya beraya di tinggalan tangga sahaja

2 min read

RUHANA Mahfodz, 75, (tengah) bersalaman dengan cucunya di tangga rumah pusaka di Kampung Jawa, Batu 18, Hulu Langat - Foto Azhar Ramli, HARIAN METRO.

Anda ingat lagi sebuah rumah kampung pusaka yang terletak di Hulu Langat yang hilang lenyap kerana hanyut di bawa arus banjir, keluarga empunya rumah hari ini menyambut Hari Raya Aidilfitri di kesan tinggalan tangga untuk mengenang semula memori di rumah berkenaan.

Bagi mereka yang pernah menghuni rumah itu, hari raya hari ini di sana amat menyentuh perasaan.

“Melihat rumah pusaka yang tinggal tangga amat menyentuh perasaan saya kerana ia menyimpan banyak kenangan sejak kecil sehingga dewasa,” kata Jamal Mahfodz, 68 tahun.

Beliau hari ini bersama 40 orang ahli keluarga daripada adik-beradik, anak, anak saudara, menantu dan cucu berkumpul di kawasan rumah pusaka berkenaan sebagai tanda ingatan.

Rumah ibu bapanya di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, dihanyutkan air dalam kejadian banjir besar yang melanda daerah itu pada 18 Disember tahun lepas

Jamal berkata, rumah berkenaan sebelum ini didiami kakak sulungnya, Ruhana, 75 tahun, seorang diri selepas ibu bapa meninggal dunia.

“Setiap tahun kami akan berkumpul di sini untuk meraikan lebaran tapi sejak dua tahun lalu, kami tidak dapat beraya bersama kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

“Setiap tahun kami akan berkumpul di sini untuk meraikan lebaran tapi sejak dua tahun lalu, kami tidak dapat beraya bersama kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

“Jadi tahun ini walaupun rumah sudah tiada, tapi kami ambil alternatif pasang khemah untuk keluarga berkumpul dan mengeratkan silaturahim,” katanya dalam laporan Harian Metro.

Dia yang mempunyai enam beradik tinggal di Sepang, Bangsar, Ampang dan Melaka merancang untuk mengadakan pertemuan itu pada bulan lalu, namun adik bongsu tidak dapat bersama kerana bekerja.

Dalam pertemuan sempena perayaan Aidilfitri itu, katanya, mereka turut mengadakan jamuan raya dengan hidangan juadah tradisi iaitu kuih bakar, lemang, lontong, nasi impit, rendang dan daging masak kicap.

Ditanya perancangan sama ada mahu membina rumah baharu, Jamal berkata, ia sudah dalam proses pembinaan dan dijangka siap sebelum penghujung tahun ini.

Dia berkata, pembinaan rumah itu adalah hasil wang sumbangan daripada kerajaan Pusat dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai.

“Saya bersyukur dan terharu dengan sumbangan orang ramai yang tidak putus-putus. Alhamdulillah, dapatlah kami bina semula rumah yang hanya tinggal tangga batu ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *