May 19, 2022

Harga jual jersi Maradona ketika jaringkan ‘Hand of God’ pecah rekod dunia

1 min read

Foto yang diambil pada 20 April lepas menunjukkan jersi yang dipakai Diego Maradona ketika perlawanan suku akhir Piala Dunia 1986 melawan England ketika sesi foto lelongan Sotheby's di London. - Foto AFP

Jersi dipakai Diego Maradona ketika menjaringkan gol menentang England dalam Piala Dunia 1986 dijual dalam lelongan di Sotheby’s, London pada Rabu dengan harga AS$9.28 juta sekali gus mencatatkan rekod dunia, lapor Agensi Anadolu.

Rekod sebelum ini dipegang Babe Ruth untuk jersi yang dipakainya dalam perlawanan musim 1928-1930 bersama New York Yankees yang dijual pada harga AS$5.64 juta pada 2019.

Gol jaringan Maradona ketika itu menjadi popular dan dikenali “Hand of God” membolehkan Argentina menewaskan England untuk merangkul Piala Dunia yang kedua dan terakhir pasukan itu setakat ini.

Ketika itu Maradona berusia 25 tahun selaku kapten Argentina.

Bagi peminat bola sepak di Malaysia, gol berkenaan kadangkala masih jadi perbualan di kala berbual kosong dengan kawan-kawan tentang bagaimana Argentina begitu hebat sebagai pasukan bola sepak ketika Maradona aktif mewakili negaranya.

Pada zaman beliau bermain, anak muda pada masa itu berlumba-lumba hendak memakai nombor 10 jika mewakili sekolah atau sekadar bermain dalam liga kecil-kecilan tempatan.

Bukan setakat jersi, mereka juga mahu menggelecek bola ala-ala Maradona ketika bermain pada waktu petang bersama rakan-rakan.

Pemain yang juga mewakili kelab Boca Juniors itu menjadi kegilaan duniawi ketika itu sehingga ada yang sampai menyembah Maradona sebagai tuhan di Argentina.

Beliau meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 25 November 2020 dan dianggap antara bintang bola sepak terhebat dunia. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published.