Sanggup tak pulang hari raya uruskan homestay untuk si kucing
2 min read
Wan Syukri ada menyediakan sebanyak 80 bilik kucing disediakan dan boleh memuatkan kapasiti penuh lebih 100 ekor.
Ada juga orang yang sanggup menahan diri tidak pulang beraya di kampung pada awal Hari Raya Aidilfitri ini semata-mata untuk menunaikan amanah menjaga ratusan kucing milik orang lain.
Itu yang dilakukan oleh pasangan suami isteri, Wan Syukri Wan Mansor, 31 tahun, dan Azmiera Mat Lazi, 29 tahun, yang menawarkan kemudahan penjagaan kucing kepada pemilik yang bercuti panjang berhari raya.
Bermula dengan hobi suka-suka menjaga kucing jiran dua tahun lalu, Wan Syukri berasal dari Dungun, Terengganu dan Azmiera dari Kota Bharu, Kelantan kini menjadikannya sebagai amanah perlu dipikul selain menambah pendapatan.
Rumah teres dua tingkat didiami mereka dijadikan homestay atau hotel kucing dinamakan Lea Cat Hotel & Spa apabila semua tiga bilik tingkat atas diubah suai untuk kediaman sementara kucing lengkap berpenghawa dingin.
Manakala mereka sanggup duduk di bilik tetamu di aras bawah bersama dua cahaya mata, Wan Adellia Zahirah, 2 tahun, dan Wan Adam Zayyan, tiga bulan.
“Kali ini kami perlu berkorban lagi walaupun sudah dua tahun tak dapat meraikan raya pertama di kampung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ibu bapa sudah diberitahu bahawa raya pertama, kedua tak boleh balik dan mereka memahami kami ada tanggungjawab dan amanah untuk menjaga kucing yang kebanyakannya orang hantar mulai 29 April ini.
“Sehingga semua pemilik kucing mengambil kembali kucing mereka pulang ke rumah masing-masing, barulah kami balik kampung… dijangka raya kelapan,” kata Wan Syukri ketika ditemui di rumahnya di Taman Saujana KLIA di Sepang memetik laporan Harian Metro.
Katanya, ramai pemilik kucing di kumpulan WhatsApp perumahannya dan di media sosial termasuk di Facebok (FB) bertanyakan tempat untuk menghantar kucing kerana kebanyakan hotel kucing sudah penuh menyebabkan dia dan isteri rasa kasihan.
Justeru, mereka bersetuju balik pulang beraya di kampung selepas orang ramai mula kembali bekerja.
Beliau berkata, ketika ini sebanyak 80 bilik kucing disediakan dan boleh memuatkan kapasiti penuh lebih 100 ekor.
“Bilik standard RM15 satu malam untuk seekor kucing, bilik premium untuk satu hingga dua kucing RM28 satu malam, bilik VIP untuk satu hingga tiga kucing RM43 satu malam dan bilik VVIP untuk satu hingga lima kucing RM70 satu malam,” katanya.
Menurutnya, kucing adalah amanah yang perlu dijaga sebaiknya.
Katanya, kucing jika tidak minum dalam waktu lama, badannya akan menjadi kering dan kecut.
“Jagalah amanah Allah SWT itu sebaiknya. Kadang-kadang kita tak tahu kucing jadi asbab murah rezeki kita,” katanya.