March 23, 2023

Elak UMNO terjerumus ke dalam konflik pertubuhan jejas masa depan parti

2 min read

Esok, UMNO mengadakan Perhimpunan Agung Khas UMNO pada 15 Mei 2022 untuk membincangkan tentang usul menangguhkan Pemilihan UMNO selama enam bulan selepas tarikh Pilihan Raya Umum (PRU).

Agenda dalam perhimpunan berkenaan ialah meminda Perlembagaan UMNO oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) agar pemilihan ditangguhkan dan ia dijangka akan diluluskan dengan mudah pada persidangan berkenaan esok.

Bagaimanapun, dalam kalangan pemerhati politik timbul tanda tanya, adakah pindaan berkenaan mengikut undang-undang dan perlembagaan parti.

Pada 6 Ogos lepas, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) Jasri Kasim berkata keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti adalah tidak sah kerana tempoh pemegang jawatan Majlis Kerja Tertinggi telah tamat pada 30 Jun tahun lepas.

UMNO kini berdepan masalah ketidahabsahan keputusan berkenaan dan perhimpunan khas esok adalah untuk memohon kepada ROS untuk menerima penangguhan berkenaan.

Tanda tanya lain juga ialah, adakah penangguhan berkenaan benar-benar kemahuan akar umbi UMNO pada ketika ia sepatutnya diadakan untuk menentukan barisan kepimpinan UMNO untuk tempoh yang baharu.

Jika ROS menolak permohonan ini, ada pelbagai kesan negatif akan berlaku kepada UMNO.

Mengapa pemilihan perlu ditangguh lagi? UMNO perlu bersedia untuk menerima siapa pilihan akar umbi sebelum berdepan PRU. Ketika ini, Perdana Menteri sudah dari UMNO dan sepatutnya pemilihan UMNO diadakan seperti biasa dan UMNO digerakkan seperti biasa.

Jika ada nama sudah sedia ada yang sudah tidak dipilih para penyokong perlu menerima keputusan berkenaan termasuk pemimpin berkenaan.

Untuk rekod sebelum ini, pemilihan UMNO sudah pun ditangguhkan selama 18 bulan kerana disebabkan pandemik COVID-19. Bukan UMNO sahaja, ada juga parti lain turut tangguhkan pemilihan.

Pemilihan UMNO sepatutnya boleh diadakan pada November tahun ini dengan pemilihan peringkat cawangan diadakan paling lewat pada bulan Julai nanti, demikian menurut Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini dalam satu laporan Free Malaysia Today.

Tidak elok, jika pemilihan berkenaan ditangguhkan dek kerana agenda tertentu nanti ia akan memberikan kesan buruk pada parti. Jika ia sudah sampai masa mesti diadakan, ia perlu diadakan dan UMNO perlu bersedia menerima sebarang keputusan.

Perbincangan boleh dibuat secara musyawarah dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO untuk mengelak perpecahan berlaku dan sebelum ini tidak ada perpecahan yang berlaku disebabkan pemilihan UMNO.

Janganlah langkah atau keputusan yang diambil dek sebab agenda tertentu bakal membawa UMNO dalam konflik pertubuhan yang besar dan mungkin memudaratkan UMNO.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *