Serangan Penyakit HFMD Semakin Mengganas Terhadap Kanak-Kanak
2 min read
Penyakit tangan, kaki dan mulut yang dikenali sebagai Hand, Foot and Mouth Disease (HFMD) telah menyerang kanak-kanak. Penyakit ini merebak dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, sentuhan cecair lepuh (blister) dan najis dari mereka yang berpenyakit. Penyakit ini boleh merebak pantas jika tidak dikawal dengan segera.
Sebanyak 11 premis pusat penjagaan kanak-kanak di Melaka ditutup berikutan penularan penyakit ini. Kes HMFD di Pahang sepanjang januari hingga 7 Mei; melaporkan kes sebanyak 1,145. Ianya meningkat 6 kali ganda berbanding tahun lepas iaitu hanya sebanyak 190 kes sahaja.
Bagi negeri Kedah pula mencatat peningkatan sebanyak 47% berbanding 2019, tahun sebelum Covid-19. Kes HFMD di negeri Selangor agak tinggi iaitu sebanyak 6,749 kes dilaporkan setakat 7 Mei, namun, ianya sudah melepasi tahap bahaya. Negeri-negeri lain turut mencatat peningkatan penyakit berjangkit terhadap kanak-kanak.
Penyakit HFMD berpunca daripada 2 virus iaitu Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus-71 (EV71). Virus ini boleh menjangkiti semua peringkat umur tetapi lebih kerap menjangkiti kanak-kanak berusia 5 tahun dan ke bawah. Hampir 90% pesakit terdiri daripada golongan kanak-kanak.
Antara gejala penyakit tangan, kaki dan mulut adalah demam, sakit kepala, kurang selera makan dan ulser pada mulut. Ada juga yang mengalami gejala ruam merah pada tangan, celah jari dan tubuh badan. Dehidrasi juga mungkin berlaku disebabkan tiada selera makan. Ada juga yang dijangkiti tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom.
Sekiranya pesakit berada dalam kelompok ramai, virus ini boleh tersebar ketika batuk atau bersin, berlaku sentuhan pada najis dan cecair lepuh atau berkongsi peralatan dengan pesakit. Mereka juga turut terdedah dengan risiko jika melakukan aktiviti bersama atau menyentuh permukaan yang dijangkiti virus.
Rawatan akan diberikan berdasarkan simptom dan gejala yang muncul. Penyakit ini akan sembuh dalam masa 7 ke 10 hari berdasarkan antibodi dan ketahanan tubuh badan masing-masing. Namun, penyakit ini juga boleh mendatangkan komplikasi seperti radang otak dan jantung.
Sekiranya anak anda didapati mempunyai simptom dan gejala penyakit tangan, kaki dan mulut, sila bawa dengan segera ke klinik atau hospital berdekatan. Selalu amalkan basuh tangan dan jaga kebersihan diri serta rumah. Sayangi diri, sayangi semua. – SEPATAH DUA