August 9, 2022

DAP pembangkang lemah apabila guna isu pakaian kecam Perdana Menteri

2 min read

Mungkin DAP iri hati dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri apabila mengotakan janjinya menyampaikan ucapan pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia Nikkei di Tokyo, Jepun dalam Bahasa Melayu sepenuhnya.

Amat lemah apabila menggunakan isu remeh untuk menyerang seorang pemimpin hanya untuk memperlekehkan kredibilitinya apabila begitu banyak langkah dan keputusan yang diambil adalah tepat serta berkesan untuk rakyat.

Tindakan parti DAP menggunakan isu pakaian yang dipakai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri ketika pertemuan tidak rasmi dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Jepun sebelum Persidangan Nikkei Future of Asia ke-27 di Tokyo adalah tindakan picisan yang nampak berunsur iri hati.

Pemimpin DAP yang memperlekeh Ismail Sabri ialah Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang mempertikai pakaian Perdana Menteri.

Sebagai ahli politik, anda kena kritik dasar dan konsep perjuangan seseorang yang mungkin perlu diperbetulkan bukannya guna isu pakaian dan isu peribadi remeh untuk mencipta imej buruk pemimpin di mata rakyat.

Musuh Ismail Sabri ialah musuh UMNO dan juga musuh Barisan Nasional (BN). Kini, mereka sudah kehabisan modal untuk memburukkan Ahli Parlimen Bera itu.

Tindakan pemimpin DAP jelas bertujuan untuk menutup kebaikan dan kecekapan pentadbiran beliau dalam menguruskan COVID-19 berkaitan isu kesihatan dan isu tekanan kepada rakyat sekaligus supaya kegiatan ekonomi tetap berjalan lancar.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga adalah faktor kemenangan kepada BN dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri yang berlangsung baru-baru ini.

Perdana Menteri tidak ada isu berkaitan salah guna kuasa, rasuah dan skandal besar menyebabkan DAP tidak ada idea untuk memperlekehkan beliau.

Gaya serangan DAP yang terdesak dapat dilihat apabila menggunakan sesuatu isu yang remeh itu secara besar-besaran di seluruh platform media sosial dan ia ditularkan begitu hebat dengan niat menjatuhkan pemimpin negara.

Kecewa juga apabila bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz juga turut sama menyertai DAP mempertikaikan pakaian Perdana Menteri.

Untuk rekod, Ismail Sabri sudah menjadi seorang peguam pada usia 27 tahun dan menceburi bidang hartanah pada usia 30 tahun dan apa yang dipakai oleh beliau tidak sepatutnya jadi pertikaian.

Ketika bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membeli rumah banglo RM1 juta di Pulau Pinang langsung tidak disentuh oleh Kor Ming pada masa itu.

Pembangkang di negara ini tidak pernah berubah. Apabila sudah tidak ada bahan yang berkualiti untuk dibangkang, mereka guna serangan peribadi sampai pakaian pun jadi bahan kutukan dan kritikan mereka.

Mereka tidak mahu pandang kejayaan Perdana Menteri bawa masuk pelaburan ke Malaysia, jadi mereka tutup mata di atas tapi pandang pakaian Ismail Sabri. Nyata mereka hanya mahu memburukkan kepimpinan negara sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published.