January 30, 2023

Ismail Sabri sudah ada indikator cukup untuk jadi Perdana Menteri yang matang

2 min read

Kebolehan dan kematangan seorang Perdana Menteri amat diuji pada waktu begini untuk negara Malaysia dan hanya individu yang memenuhi kriteria serta mampu menjalankan tugas dalam tekanan mampu mentadbir negara.

Bukan sahaja itu, seorang Perdana Menteri juga perlu ada imej bersih dan terhindar dari sebarang kes melibatkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memegang kemudi bahtera Keluarga Malaysia sekarang sudah dilihat penuhi beberapa indikator berkenaan dan kini menjalankan tugas mentadbir negara dengan baik sekali.

Amat sukar untuk menjadi Perdana Menteri di dalam sebuah negara yang memiliki kerajaan yang tidak stabil serta masih lagi belum pulih dari pandemik COVID-19 serta ditekan dengan pelbagai masalah lain yang membelenggu ekonomi sekarang ini.

Bagi Ismail Sabri, beliau masih kuat dan komited menjalankan tugas dengan baik dalam kekalutan yang sedang berlaku.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera kini memang sesuai untuk jadi poster boy untuk Barisan Nasional (BN) serta dikekalkan sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Ketika ini, rakyat masih fobia dengan pemimpin yang ada terpalit dengan kes rasuah dan salah guna kuasa sehingga sudah muak mendengar kes perbicaraan yang tak sudah-sudah.

Banyak desas-desus kini berlegar bahawa ada beberapa bekas Perdana Menteri yang mula memulakan gerakan untuk cuba tampil dan menjadi Perdana Menteri sekali lagi. Usaha yang tidak henti sebegini membuatkan rakyat penat dengan politik.

Kita imbau kembali satu masa dahulu semasa BN sentiasa menang pilihan raya dengan kemenangan besar, peralihan kuasa dari seorang Perdana Menteri kepada Perdana Menteri baharu biasanya berjalan dengan pernuh tertib dan lancar.

Pada masa ini, masa sudah berubah dan Ismail Sabri sedang menerajui negara dalam suasana huru-hara politik tetapi beliau mengutamakan aspek mustahak untuk rakyat dalam membuat keputusan walaupun ia tidak bersifat popular dalam kalangan ahli politik lain.

Paling penting, keputusan diambil tepat dan akan menyelesaikan masalah rakyat.

Anda perlu tahu, Ismail Sabri sudah diuji dengan pelbagai dugaan sejak awal negara diserang COVID-19 dan ketika itu beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kanan: Pertahanan.

Sejak itu, beliau yang umumkan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga negara kini sudah masuk ke fasa peralihan ke endemik.

Semua keputusan diambil selepas dinilai secara menyeluruh dan terperinci sebelum diumumkan dan dilaksanakan.

Kenapa masih ada tindakan kurang bijak dari sesetengah pihak yang masih mendesak dan mahu Parlimen dibubarkan sedangkan beliau sudah menjalankan tugas dengan baik.

Dengan tugas pentadbiran dijalankan dengan baik dengan usaha membawa masuk pelaburan dijalankan terus dari semasa ke semasa, kesemua usaha keras ini akan membawa kepada pemulihan ekonomi serta meningkatkan kembali nilai Ringgit Malaysia dalam pasaran antarabangsa.

Ia akan memberikan kesan positif kepada rakyat untuk tempoh jangka panjang.

Kita lihat sahaja pentadbiran dijalankan dengan baik dengan langkah memulihkan kembali negara diambil dengan berhati-hati untuk kepentingan rakyat dan janganlah ia diganggu dengan perbuatan-perbuatan jahat untuk merosakkan sistem pentadbiran serta kredibiliti Perdana Menteri.

Pengalaman yang dimiliki oleh Ismail Sabri sejak memegang beberapa jawatan kabinet cukup untuk digunakan menerajui negara dalam keadaan konflik sebegini dengan sokongan rakyat serta kecekapan barisan kabinet yang akan membantu tugas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *