August 9, 2022

Adakah pilihan raya sesuai diadakan pada waktu ini?

2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketik berucap pada program Konvensyen dan Ulang Tahun ke-48 Barisan Nasional di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.

Adakah pada waktu ini ketika harga barang dilihat meningkat dan kadar inflasi tinggi sesuai diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15?

Pada pandangan pemerhati politik, pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa asalkan parti kerajaan yakin bahawa suasana politik pada masa itu akan membolehkan mereka menang.

Soal inflasi atau kenaikan harga barang ia sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat. Bagaimanapun, ia perlu ditangani oleh sebuah kerajaan yang stabil bukan oleh sebuah kerajaan yang carca marba.

Semalam, dalam program Konvensyen dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional (BN) ke-48 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumput, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan bahawa beliau tidak akan melewatkan sedikit pun pembubaran Parlimen jika BN sudah bersiap sedia menghadapinya.

Kata-kata itu jelas menunjukkan BN ada “kuasa penentu” dalam kerajaan untuk menentukan bila pilihan raya sesuai untuk dilakukan.

Walaupun, selepas ketegasan Perdana Menteri, ada laungan bubar Parlimen ketika ucapan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seakan-akan menunjukkan kata-kata tegas Ismail Sabri tidak diyakini. Ia seakan mendesak Perdana Menteri ambil langkah segera untuk membubarkan Parlimen.

Dalam ucapan itu, Ahmad Zahid cuba meredakan keadaan dengan menyokong kata-kata Perdana Menteri tetapi masih dapat dirasai unsur mendesak di dalamnya.

Seperti yang dikatakan awal tadi, pilihan raya boleh dibuat pada bila-bila masa tapi jika pada masa sekarang, BN ada risiko kalah kerana ketika ini isu kenaikan harga barang dan inflasi sedang menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Jika risiko itu diambil, silap-silap BN boleh kalah tertiarap.

Jadi, langkah yang dinyatakan oleh Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO untuk BN bersiap sedia dahulu sebelum berdepan PRU15 adalah tepat supaya BN dapat menang selepas menyelesaikan masalah berkaitan harga barang sekarang ini.

Eloklah, perkara berkaitan tarikh pilihan raya umum dan bila Parlimen akan dibubarkan dibincangan secara tertutup dengan pemimpin yang sepatutnya iaitu Top 5 pemimpin UMNO iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden bagi menentukn tarikh sesuai untuk pembubaran Parlimen.

Pada masa sekarang juga, kestabilan politik yang dibawa ketika pentadbiran Ismail Sabri menjadi sebab rakyat dilihat kembali menyokong BN melalui kemenangan dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.

Bagi BN, parti tidak boleh berasa selesa kerana masih banyak perkara perlu dilakukan untuk memenangi hati rakyat bagi menjamin kejayaan dalam PRU15 hari ini.

Kekalahan BN pada PRU14 pada 2018 adalah satu detik sejarah yang perlu dijadikan pengajaran untuk BN dan UMNO yang menyaksikan perubahan landskap politik negara.

Bagi BN dan Ismail Sabri, sudah pasti satu jalan yang akan memberikan akhir yang baik kepada parti, rakyat dan negara supaya ia dapat ditadbir dengan lancar.

Masalah inflasi dan kenaikan harga barang juga akan dapat diselesaikan dengan baik jika kerajaan yang ada dalam keadaan stabil dan kukuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published.