Desakan bubar Parlimen secara terbuka mungkin jejaskan kestabilan
2 min readKerajaan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini sedang berdepan cabaran besar iaitu desakan dari dalam UMNO sendiri supaya pilihan raya umum (PRU) disegerakan untuk memberi mandat kepada rakyat memilih kerajaan baharu.
Desakan itu datang apabila sesetengah pihak dalam UMNO berasa ini adalah masa yang paling tepat untuk membubarkan Parlimen dan diadakan PRU ke-15 kerana Perdana Menteri adalah dari UMNO sendiri dan keadaan juga dilihat akan memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Ismail Sabri dalam Konvensyen dan Sambutan Ulang Tahun BN ke-48 baru-baru ini sudah menyatakan komitmennya bahawa beliau tidak akan melewatkan sedikit pun pembubaran Parlimen apabila masanya sesuai dan beliau bersetuju untuk berbincang dengan pemimpin Top 5 UMNO berkenaan tarikh bila Parlimen akan dibubarkan.
Bagaimanapun, ada pemimpin UMNO dilihat memilih untuk mendesak Perdana Menteri secara terbuka supaya PRU diadakan segera.
Apa sebenarnya tujuan desakan ini masih berterusan dan mereka enggan berbincang perkara berkaitan pilihan raya secara tertutup?
Keadaan sekarang memerlukan suasana politik yang stabil supaya pelabur dari luar negara memilih Malaysia sebagai lokasi pelaburan mereka untuk mengembangkan pasaran dan industri. Desakan seperti ini dilihat lebih banyak akan merugikan negara.
Dalam keadaan sekarang dengan pandemik COVID-19 masih belum berakhir, kestabilan dalam negara bukan sekadar angka berapa jumlah kerusi yang dikuasai parti yang menang ia sebaliknya melibatkan keputusan yang dibuat diterima semua pihak termasuk parti pembangkang.
Dalam sejarah negara, belum pernah berlaku lagi sebuah kerajaan digerakkan dengan wakil dari pelbagai parti yang mampu duduk semeja untuk mengambil keputusan melibatkan pentadbiran negara.
Belum pernah berlaku juga, pentadbiran Perdana Menteri UMNO diterima baik wakil rakyat pembangkang berasaskan persefahaman untuk mengekalkan suasana harmoni walaupun ada perbezaan pendapat demi kestabilan negara kekal.
Selepas negara berjaya keluar dari pandemik dan masalah ekonomi, barulah sesuai untuk diadakan pilihan raya umum nanti.
Setakat ini, sudah terbukti kestabilan berjaya dicapai apabila sesi undian dalam Dewan Rakyat menerima 100 peratus sokongan ahli dewan.
Kestabilan bukan sahaja berkisar soal sokongan Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan di depan Yang di-Pertuan Agong tetapi bagaimana seorang Perdana Menteri mampu menstabilkan negara dari pergolakan politiks sejak PRU ke-14 pada 2018 lalu.
Perjalanan pentadbiran negara berjaya dikawal dengan baik dengan kebijaksanaan Perdana Menteri yang menerajui pentadbiran.
Ketika ini, Ismail Sabri dilihat tidak diserang dengan terik oleh parti dalam Pakatan Harapan (PH) tetapi beliau dilihat diserang dengan hebat dari dalam parti UMNO sendiri.
Difahamkan, Perdana Menteri diasak bertubi-tubi untuk membubarkan Parlimen dipercayai dari tangan-tangan ghaib yang ada agenda tertentu apabila pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.
Mungkin dulu, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri dan ada mencampuri urusan perundangan dan kehakiman, ia akan membawa kerosakan kepada sistem pentadbiran tapi sekarang apabila Ismail Sabri enggan mencampuri urusan kehakiman desakan yang akan menjejaskan kestabilan yang ada datang pula dari dalam parti sendiri.