December 8, 2023

DAP tak perlu campur urusan dalaman UMNO dan Barisan Nasional

2 min read

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad.

Hubungan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) di antara pemimpin-pemimpinnya adalah amat kuat dan semua perbezaan pendapat akan diselesaikan melalui rundingan yang baik dengan tidak menjejaskan perpaduan parti.

Tindakan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke baru-baru ini mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat kenyataan “flip flop” berkaitan pilihan raya umum adalah satu tindakan untuk merosakkan hubungan baik itu.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad dalam satu kenyataan berkata Telah terbukti sebelum ini walau apa jua perbezaan pendapat akhirnya diselesaikan dengan baik di meja rundingan dalam meletakkan rasa hormat antara pimpinan dan ukhwah yang cukup kuat.

“Tumpuan Perdana Menteri adalah meletakkan kembali negara Malaysia ke landasan yang betul dari segi pembangunan ekonomi dan sosial rakyat,” katanya.

Menurut beliau, Ismail Sabri dikenali sebagai seorang pemimpin yang amat tenang dan tidak mudah melatah serta tidak akan mengkritik parti lawan untuk membuktikan beliau betul atau lebih baik.

“Beliau tidak perlu membandingkan apa yang parti-parti lain lakukan(ketika berkuasa) untuk membuktikan apa yang beliau lakukan hari ini merupakan keperluan dan keutamaan hanya untuk rakyat dan negara.

“Sikap mendengar dan membuat keputusan setelah pelbagai pandangan dan teguran menjadi kekuatan YAB PM hari ini sehinggakan setiap dasar dan perlaksanaan Keluarga Malaysia boleh dan telah mula diterima oleh seluruh rakyat,” menurut Syed Mohd Fazmi.

Dalam isu berkaitan Anthony, Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam soal pembubaran Parlimen kerana kuasa melaksanakan perkara itu terletak pada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Dalam dua program sebelum ini iaitu Perhimpunan Agung UMNO 2021 dan Konvensyen BN yang berlangsung 1 Jun yang lepas, Ismail Sabri sudah menyatakan bahawa pembubaran Parlimen tidak akan ditangguhkan selepas BN bersedia untuk berdepan pilihan raya umum.

“Nampaknya Anthony cuba untuk meneka dan mahukan kepastian dalam soal ini dengan bentuk provokasi yang seperti dijangka disamping cuba menggangu-gugat hubungan antara pimpinan UMNO dan BN.

“Tenyata teka-teki dalam soal pembubaran parlimen ini mampu menyebabkan pembangkang tidak senang duduk dan kepanasan. Itulah kelebihan yang ada pada seorang Perdana Menteri yang mewakili UMNO hari ini,” kata beliau.

Syed Mohd Fazmi berkata keluarga besar BN sepatutnya menggunaka kelebihan yang ada untuk mempersiapkan pelbagai lapis jentera di semua peringkat tanpa perlu termakan dengan mainan pembangkang yang makin terdesak.

“Pesanan saya ialah agar Anthony Loke tidak mencampuri urusan dalaman UMNO/BN kerana provokasi atau adu-dumba pembangkang khususnya DAP telah terbukti gagal memecahkan kesatuan dan kebersamaan kepimpinan UMNO/BN walau dengan apa jua percubaan dan rekayasa fitnah sekali pun,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *