January 30, 2023

Beri ruang kepada Top 5 UMNO teruskan perbincangan tentang PRU15

2 min read

Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan sentiasa membawa mandat parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada setiap masa termasuk dalam berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Sejak krisis politik pada 2020 apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) terbubar, ketika ramai Ahli Parlimen melompat parti lari dari UMNO, beliau yang juga Ahli Parlimen Bera kekal setia dengan BN malah memegang beberapa jawatan penting ketika Malaysia berdepan pandemik COVID-19.

Apabila ada dakwaan yang menyatakan bahawa beliau melambatkan pembubaran Parlimen kerana mahu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjarakan dek pertuduhan mereka, ia adalah satu perbuatan memecahbelahkan UMNO.

Ismail Sabri kekal konsisten dengan pendirian beliau untuk tidak mencampuri urusan mahkamah dan memberi sepenuhnya sistem perundangan negara berfungsi dengan baik.

Ahmad Zahid dan Najib juga tidak pernah menyuarakan hasrat mahu kes mereka digugurkan malah mereka juga konsisten untuk membuktikan mereka tidak bersalah melalui sistem perundangan sedia ada.

Mereka akan membuktikan dalam perbicaraan kes masing-masing bahawa mereka tidak bersalah kerana pendakwaan ke atas mereka adalah pendakwaan terpilih atas niat untuk menghancurkan riwayat politik mereka.

Sejak pandemik dan krisis politik melanda, tidak ada bukti yang menunjukkan Ismail Sabri bertindak membelakangkan parti sebaliknya beliau merupakan antara individu yang banyak memainkan peranan penting ketika negara berdepan pelbagai masalah.

Perlu diingat, pemimpin Top 5 UMNO bukan Ismail Sabri seorang. Ia melibatkan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden yang ada.

Mereka yang akan berbincang dan membuat keputusan berkenaan tarikh pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15 untuk diadakan.

Perbincangan sudah pun diadakan tetapi butiran perbincangan tidak akan didedahkan kerana ia perlu dibuat secara tertutup kerana sebarang maklumat ini jika didedahkan ia akan menjejaskan kemasukan pelaburan asing ke dalam negara.

Desakan dan tekanan yang diberikan kepada Ismail Sabri pula hanya akan menunjukkan kelemahan UMNO. Sebaliknya, semua pihak termasuk UMNO perlu memberikan ruang kepada Top 5 berbincang dan mencari jalan penyelesaian melibatkan PRU15 ini.

Tidak sesuai kritikan dan rungutan disasarkan kepada Ismail Sabri hanya kerana beliau merupakan Perdana Menteri dari BN.

Parti sendiri sudah membuat ketetapan bahawa beliau akan kekal menjadi Perdana Menteri selepas PRU dan akan menjadi poster boy pada pilihan raya nanti.

Ismail Sabri juga merupakan seorang pemimpin dalam UMNO dan beliau kekal setia.

Sudah pasti beliau juga mahu BN menang dengan bergaya pada PRU nanti seterusnya dapat menawarkan kestabilan politik kepada rakyat dan akar umbi UMNO.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *