Kestabilan hari ini berasaskan persefahaman semua pihak junjung titah Tuanku
2 min read
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Kestabilan politik yang ada hari ini bukan semata-mata hanya sokongan dari Ahli Parlimen semata-mata tetapi ia lebih daripada itu yang bersifat menyeluruh untuk sama-sama menjalankan usaha memulihkan negara.
Dengan kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta semua pihak yang komited menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menjadikan negara sekarang ini makmur dan boleh ditadbir dengan baik supaya negara kembali pulih dari krisis pandemik dan ekonomi.
Kestabilan hari ini ialah satu bentuk persefahaman yang unik melibatkan semua pihak yang turut sama berikrar menjunjung titah Seri Paduka Baginda.
Pada 28 Februari lepas, Tuanku bertitah bahawa ahli politik di negara ini perlu fokus kepada usaha untuk menjaga kepentingan rakyat.
“Gunung Kinabalu sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang susah menjadi senang.
Busana tradisi kain bersulam,
Warnanya jingga berawan larat,
Cukuplah berpolitik siang dan malam,
Fokuskan menjaga kepentingan rakyat,” titah Seri Paduka.
Baginda juga berpuas hati dengan kestabilan politik hari ini yang dicapai menerusi kerjasama dwipartisan iaitu melalui memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politk yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dan pembangkang.
Oleh itu, apa sahaja tindakan untuk menganggu kestabilan yang ada termasuk mendesak untuk pembubaran Parlimen segera ia melanggar titah Seri Paduka Baginda yang mahu semua pihak memelihara terus kestabilan yang ada.
Tidak kira perbuatan berkenaan datang dari mana-mana kumpulan atau parti sekali pun ia bertentangan dengan apa yang dihajati oleh baginda Tuanku Al-Sultan Abdullah.
Kestabilan yang ada pada hari ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia apabila parti kerajaan dan parti pembangkang sama-sama menandatangani memorandum persefahaman untuk mengekalkannya supaya negara dapat ditadbir dan diterajui dengan baik.
Oleh itu, semua pihak perlu menjunjung titah berkenaan dan memberikan fokus sepenuhnya kepada menyelesaikan masalah ekonomi dan masalah rakyat.
Tolak tepi perbezaan pendapat dan selisih faham serta ideologi politik untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi sebelum nanti sampainya tarikh serta masa sesuai untuk diadakan pilihan raya umum.