December 6, 2023

Tarikh PRU penting tentukan kemenangan Barisan Nasional

2 min read

Tarikh untuk satu pilihan raya umum (PRU) diadakan adalah satu hari yang penting untuk para pengundi membuang undi bagi memilih kerajaan baharu yang akan mentadbir negara untuk penggal selama lima tahun yang seterusnya.

Ia melibatkan satu tarikh yang akan diadakan pertandingan di antara calon parti-parti dan sudah pasti parti yang menjadi kerajaan mahu menang apabila bertembung dengan parti lawan. Oleh itu sudah pasti tarikh bila PRU akan diadakan tidak boleh diketahui secara terbuka.

Bila tarikhnya juga tidak boleh dibincang secara terbuka khususnya waktu Parlimen akan dibubarkan.

Bagi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO dan Barisan Nasional (BN), dan ada kuasa membubarkan Parlimen, beliau pasti mahu ia dilunaskan pada waktu yang terbaik, waktu yang sesuai dan waktu di mana parti dalam keadaan paling bersedia.

Ada pihak dari luar dan dalam parti cuba membuat desakan kepada beliau untuk memberitahu bila tarikh pembubaran Parlimen dan tarikh PRU ke-15.

Bagaimanapun, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO tegas menjawab soalan media bahawa tarikh berkenaan tidak boleh dibincangkan secara terbuka.

“Tidak ada PM yang bincang tarikh pilihan raya secara terbuka,” jawab beliau ketika hadir melancarkan pengangkutan awam Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya Fasa 1.

Melalui keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi, Perhimpunan Agung UMNO 2021 dan Perhimpunan Khas UMNO 2021 dengan jelas membuat keputusan sebulat suara menyerahkan kepada kebijaksanaan ‘Top 5’ untuk berbincang tarikh yang sesuai untuk persembahkan kepada Yang diPertuan Agong bagi memperkenankan tarikh tersebut.

Keanggotaan ‘Top 5’ adalah terdiri daripada Presiden UMNO, Timbalan Presiden dan tiga orang Naib Presiden.

Keputusan yang telah dibuat sebelum ini oleh Majlis Kerja Tertinggi dan Pengerusi Perhubungan Negeri seluruh negara adalah Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ bagi PRU15 dan beliau adalah satu-satunya calon tunggal UMNO letakkan sebagai Perdana Menteri sekiranya UMNO BN menang pilihanraya tersebut.

Apa lagi yang masih menjadi modal kepada kumpulan pencacai? Semua telah dijawab sebelum ini dan Perdana Menteri sendiri pun sudah menyatakan dengan jelas berhubung perkara yang cuba dijadikan isu oleh kumpulan pencacai yang semakin terdesak?

Ahli dan akar umbi di dalam parti sudah ada kematangan yang tinggi untuk setia dengan UMNO dan BN pada pilihan raya nanti asalkan parti benar-benar bersedia untuk berdepan dengan pilihan raya.

Apa sahaja tahunnya, bila pun ia akan diadakan ia adalah satu gelanggang hidup dan mati untuk mana-mana parti pun yang bertanding.

Untuk UMNO dan BN sudah pasti ia lebih penting kerana kemenangan akan memastikan negara terus ditadbir oleh BN dengan Perdana Menteri dari yang sama.

Sekarang bukan masa sesuai untuk mendesak tetapi ianya adalah masa yang penting untuk menyiapkan jentera parti di kesemua peringkat.

Perdana Menteri sedang melakukan yang terbaik untuk menstabilkan ekonomi rakyat dan negara dan impaknya juga bakal memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap perdana menteri dari parti UMNO BN di pilihanraya umum akan datang.

Jangan kerana langau yang hanya mempunyai kepentingan politik peribadi maka UMNO BN sekali lagi tersungkur dihukum oleh rakyat.

Berilah peluang kepada ‘Top 5’ menyusun strategi menang PRU5 dan bukannya membiarkan nasib UMNO BN di tangan kumpulan yang ada niat tak elok terhadap UMNO.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *