Kementerian Wilayah Persekutuan tubuh Pasukan Task Force selesai masalah kesesakan
3 min read
Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membentuk sebuah Pasukan Task Force bagi bertindak meneliti kesesakan trafik yang semakin teruk di bandaraya Kuala Lumpur.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam satu kenyataan berkata ibu kota menyaksikan pertambahan sebanyak 45 peratus jumlah kenderaan iaitu asalnya pada bulan Disember 2019 sebanyak 26.15 juta kenderaan sebulan meningkat kepada 46.76 juta kenderaan pada Disember tahun lepas.
“Bermula selepas kerajaan melonggarkan perintah kawalan pergerakan COVID-19 melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Ogos 2021, jumlah penggunaan kenderaan di ibu kota Kuala Lumpur bertambah dengan mendadak,” katanya.

Jalaluddin berkata selain pekerja yang sudah mula bekerja secara rutin di pejabat (tiada lagi pelaksanaan Work From Home), punca-punca kesesakan jalanraya di Kuala Lumpur ini adalah disebabkan oleh pertambahanbilangan kenderaan yang memasuki pusat bandar dan halangan-halangan yang berlaku setiap hari di jalan-jalan utama.
“Antara halangan yang dikenalpasti adalah seperti kemalangan, kenderaan rosak, kerja-kerja pembinaan lebuhraya konsesi, kerja-kerja pembangunan baru yang melibatkan penutupan atau lencongan jalan melalui kaedah Traffic Management Plan (TMP), penyelenggaraan jalan, tanah mendap, air bertakung, pokok tumbang, kerosakan lampu isyarat, kenderaanibubapa urusan hantar/ambil anak sekolah dan juga berlaku cross traffic dari jalan konsesi ke jalan sedia ada menyumbang kepada kesesakan jalan-jalan di Kuala Lumpur ini,” katanya.
Pasukan Task Force berkenaan yang dipengerusikan oleh beliau akan membuat penegasan mengenai operasi penguatkuasaan yang dikenalpasti menjadi punca utama kesesakan berlaku.
Beliau menyatakan pihak DBKL dan bahagian trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa bekerjasama mencari penyelesaian kaedah dan tindakan penyuraian kesesakan lalulintas di pusat bandar.
“Ketetapan telah diambil sebagai langkah jangka masa pendek, bermula serta merta, penempatan kawalan penguatkuasaan secara bersama oleh DBKL dan PDRM pada waktu puncak akan digerakkan secara lebih drastik. Terdapat 72 lokasi di bawah PDRM (Bahagian Trafik) dan 13 lokasi di bawah DBKL.
“Pihak DBKL juga sudah dan akan meletak papantanda larangan kenderaan berat di sempadan pada waktu puncak di beberapa lokasi strategik. Dua waktu puncak yang dikenalpasti ialah sesi pagi bermula dari pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan sesi petang 4.30 petang hingga 7.30 petang,” katanya.
Menurut beliau, DBKL juga akan meletakan paparan Variable Message Sign (VMS) larangan kenderaan berat di lokasi berhampiran sempadan penyediaan kawasan parkir kenderaan berat sebelum masuk ke Kuala Lumpur.
Jalaluddin turut menjelaskan untuk langkah jangka masa sederhana, Pasukan Task Force Kesesakan Jalan Raya mengambil keputusan untuk melarang kenderaan parkir di bahu jalan semasa waktu puncak pagi dan petang, serta membatalkan petak-petak parkir secara berperingkat di jalan-jalan utama.
“Selain itu, kita juga melarang penjaja meniaga di bahu jalan semasa waktu puncak pagi dan petang, membatalkan petak-petak penjaja secara berperingkat terutama di bahu jalan di jalan-jalan utama, mengemaskini papan-papan tanda berkaitan lalulintas dan peraturan keselamatan jalan raya, serta menguatkuasa larangan kenderaan berhenti di petak-petak kuning persimpangan,” katanya.
Beliau turut menerangkan bahawa pasukan berkenaan ingin mencadangkan lorong akses plaza tol pelbagai fungsi ditukar (guna radar tanpa palang dan penetapan di setiap lorong plaza tol boleh menggunakan Touch N Go, Smart Tag dan RFID) daripada sistem yang digunapakai sekarang dan menyediakan laluan tidal flow pada waktu puncak pagi dan petang.
Pihak Kementerian juga akan ambil langkah jangka masa panjang idengan mencadangkan enam langkah iaitu penambahbaikan jajaran 1st mile dan last mile bagi semua pengangkutan awam; intregrasi antara konsesi lebuhraya dan penyuraian trafik yang lebih berkesan; penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam seperti GOKL termasuk kempen berterusan bagi galakkan penggunaan pengangkutan awam; penambahan infrastruktursokongan contoh seperti underpass/underground dan covered walkway (pedestrian friendly) serta menguatkuasa semula infrastruktur laluan lorong bas di pusat bandar.
“Selain itu, DBKL sedang dalam kajian secara teliti terhadap sistem lampu isyarat dalam Kuala Lumpur dan persisir Kuala Lumpur agar ia lebih komprehensif dan mampu mengawal pergerakan trafik dengan lebih selari dan signifikan.
“Bagi memastikan pasukan ini mampu melestarikan hasrat mengurangkan kadar kesesakan jalan raya, DBKL akan melibatkan pakar-pakar akademik yang ada di universiti awam mahupun swasta di negara kita, agar dapatan kepada kajian-kajian mereka selama ini dapat digunakan di Kuala Lumpur,” katanya.
Pihak Kementerian dan DBKL akan memastikan tindakan penguatkuasaan trafik akan dilakukan secara drastik dan konsisten bermula serta-merta bagi memastikan beberapa punca kepada kesesakan jalan raya dapat diatasi segera. – SEPATAH DUA