Jalaluddin Alias lancar kempen “Jadikan Halal Pilihan Utama Anda”
2 min readSatu kempen yang dikenali “Jadikan Halal Pilihan Utama Anda” dengan kerjasama antara pusat beli-belah Lulu Hypermarket & Department Store bersama Halal Development Corporation (HDC) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kempen berkenaan bertujuan untuk membantu para peniaga terutama syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan yang terjejas akibat wabak COVID0-19 selain daripada menggalakkan perbelanjaan domestik dan membantu usahawan tempatan
meningkatkan jualan produk.
“Kempen di bawah inisiatif Belanjawan 2022 ini membabitkan gabungan dua program iaitu Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS dan Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS.
“Kempen tiga bulan yang bermula pada penhujung bulan April ini bukan sahaja membantu industri PMKS, malah ianya juga menggalakkan para pengguna Keluarga Malaysia untuk memilih produk yang
‘halalan toiyiban’ untuk kegunaan harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, selain Lulu Hypermarket, agensi HDC ini juga turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Lotus dan Foodpanda bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk bangkit kembali.
“Saya juga telah meminta pihak Lulu Hypermarket untuk meneliti soal promosi dan harga yang ditawarkan di sepanjang kempen ini.
“Kaedah promosi dan tetapan harga barang haruslah dipandang serius agar ia mampu meningkatkan capaian dan prestasi jualan, serta mengatasi isu jurang visibiliti produk halal tempatan yang bersaing dengan produk halal luar negara.
“Fokus kita untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan pengeluaran produk halal tempatan supaya hasil keluaran produk halal ini juga dapat dinikmati oleh yang bukan Islam,” kata Jalaluddin.
Pada majlis berkenaan beliau turut meluangkan masa menyampaikan sijil penghargaan kepada tiga pembekal PMKS terbaik yang mencapai prestasi jualan yang tertinggi.
Beliau berharap pengiktirafan berkenaan dapat memberi inspirasi kepada pembekal PMKS yang lain.
“Kementerian Wilayah Persekutuan menyambut baik kempen sebegini dan meminta lebih banyak hypermarket, supermarket atau mana-mana outlet yang berada di dalam Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk bersaing secara sihat dalam melakukan kempen menjual barangan halal sebegini.
“Semoga kempen ini dapat meningkatkan eksport halal negara, selain daripada menarik lebih banyak pelaburan langsung ke dalam industri halal dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Malaysia,” kata Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu. – SEPATAH DUA