January 30, 2023

Polis siasat kejadian pemberian mi segera perisa daging babi dalam program derma darah

1 min read

Polis daerah ini membuka kertas siasatan terhadap kes berkaitan pemberian cenderahati yang mengandungi mi segera dipercayai berperisa daging babi ketika program derma darah di sebuah pusat membeli-belah di  Batu Pahat, Johor kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata, pada jam 11.38 pagi tadi, pihak polis menerima satu laporan yang dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai perkara berkenaan.

“Laporan berkenaan mengenai sebahagian daripada penderma darah menerima bungkusan cenderahati mengandungi mi segera dipercayai berperisa daging babi cincang.

“Siasatan awal mendapati, satu program derma darah anjuran bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat diadakan di sebuah pusat membeli-belah di sini semalam,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ismail, selepas selesai menderma darah, penderma darah menerima bungkusan cenderahati daripada NGO berkenaan.

“Sebahagian penerima adalah beragama Islam mendapati di dalam beg berkenaan terdapat mi segera dipercayai berperisa daging babi cincang.

“Susulan kejadian berkenaan, pihak polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menubuhkan satu pasukan untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dengan kejadian terbabit,” katanya.

Katanya, beberapa individu yang terbabit telah dipanggil dan beberapa rampasan turut dilakukan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A/504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara ataupun denda atau kedua-duanya.

©Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *