August 9, 2022

Seramai 16 orang tukang urut dan pekerja seks warga asing ditahan

2 min read

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias bersama anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memeriksa premis di ibu negara dalam Operasi Bersepadu DBKL bersama agensi kerajaan lain di ibu negara Ahad lepas.

Seramai 16 orang warga asing telah ditahan dalam satu Operasi Bersepadu di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membanteras kegiatan haram melibatkan premis rumah urut, pelacuran dan yang melanggar syarat lesen.

Operasi berkenaan dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad lalu, 26 Jun lepas dengan kerjasama agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Mereka yang ditahan oleh Jabatan Imigresen terdiri daripada warganegara Thailand (8 orang), Indonesia (7 orang) dan Vietnam (seorang) yang bertindak sebagai tukang urut dan pekerja seks.

“Mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam satu kenyataan semalam.

 

Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan turut menahan seramai 5 individu rakyat tempatan beragama Islam (pelanggan) bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut.

Operasi bersepadu ini disertai sendiri oleh Jalaluddin dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Anwar Mohd Zain.

Operasi berkenaan juga melihat untuk membanteras juga kesalahan lain seperti menyalahgunakan visa pelawat dan kesalahan jenayah syariah.

Dalam operasi bersepadu ini, sebanyak 4 buah premis telah dikenakan tindakan kompaun dan tutup serta-merta di bawah UUK 3(1), Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian WPKL 2016 kerana menjalankan aktiviti urut tanpa lesen serta aktiviti tidak bermoral (seks).

“Selain itu, turut di sita 38 unit pelbagai peralatan berupa kondom, cecair pelincir serta peralatan CCTV,” katanya.

Jalaluddin berkata bermula 1 April yang lalu kerajaan mengumumkan negara memasuki ke Fasa Peralihan Endemik COVID-19 dimana pelbagai sektor ekonomi, sosial dan aktiviti perniagaan kembali akan beroperasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kenenterian Kesihatan Malaysia.

“Menerusi pengumuman peralihan ke Fasa Endemik COVID-19 ini, pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah mengarahkan agensi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meningkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti perniagaan terutamanya yang melibatkan premis hiburan dan aktiviti sosial di ibu kota Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata pihak kementerian dan DBKL telah merangka pelbagai tindakan yang sedang dan akan dilaksanakan mengikut garis panduan dan peruntukan undang-undang yang digunapakai di Kuala Lumpur dengan kerjasama agensi lain berkaitan.

Jalaluddin menegaskan kementerian memandang serius ke atas kesalahan pelanggaran syarat lesen yang dilakukan oleh pemilik premis dan aktiviti perniagaan.

“Kementerian turut mengingatkan kepada pemegang-pemegang lesen supaya jangan terlalu mengambil mudah isu pelanggaran syarat lesen kerana sebarang pelanggaran syarat lesen akan dibawa ke jawatankuasa bagi pembatalan lesen perniagaan.

“Kementerian akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ini secara berterusan dari semasa ke semasa dengan kerjasama agensi sahabat,” kata Jalaluddin. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published.