September 28, 2022

Pos Malaysia dijangka alami kerugian lebih besar tahun ini berbanding tahun lepas

2 min read

Pos Malaysia Berhad dijangka mengalami kerugian bersih lebih besar RM99 juta bagi tahun kewangan 2022 berbanding RM89 juta sebelumnya, demikian menurut AmInvestment Bank.

Bank pelaburan itu berkata, berdasarkan mesyuarat penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan itu baru-baru ini, Pos Malaysia dijangka merekodkan kerugian bersih RM10 juta bagi tahun kewangan 2023, terutama disebabkan oleh jumlah mel dan bungkusan lebih rendah.

“Bagaimanapun, kami mengunjurkan syarikat akan kembali mencatatkan keuntungan pada tahun kewangan 2024 dengan keuntungan bersih RM48 juta didorong margin keuntungan lebih baik susulan pelaksanaan pelbagai inisiatif penjimatan kos seperti pengurangan tenaga kerja serta penggabungan rangkaian mel dan bungkusan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Pendapatan pengeposan Pos Malaysia susut 15 peratus pada suku pertama tahun kewangan 2022 sejajar dengan penurunan jumlah bungkusan, didorong oleh tiga faktor.

Antara lain, ia berpunca trend pembelian pengguna beralih daripada transaksi dalam talian kepada beli belah secara fizikal di tengah-tengah kelonggaran sekatan pergerakan.

Selain itu, peserta e-dagang utama memanfaatkan keupayaan penghantaran dalaman dan satu lagi faktor adalah peserta antarabangsa meneruskan strategi penembusan untuk meraih penguasaan pasaran lebih besar.

AmInvestment Bank berkata, walaupun meraih pendapatan lebih rendah, segmen penghantaran merekodkan kerugian sebelum cukai lebih kecil sebanyak RM36 juta, peningkatan 24 peratus berbanding suku sama tahun lalu.

Pencapaian itu, katanya adalah disebabkan kos pengangkutan dan penghantaran yang lebih rendah selain jumlah kakitangan berkurangan susulan pelaksanaan skim pemisahan bersama (MSS).

“Menuju ke hadapan, kami menjangkakan prospek perniagaan penghantaran bungkusan syarikat akan kekal mencabar kerana ia tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya jumlah transaksi e-dagang yang berkembang di tengah-tengah jumlah bungkusan lebih rendah daripada peserta e-dagang utama.

“Kami juga difahamkan bahawa operasi mel terus mencatatkan penurunan secara berperingkat sejajar dengan trend global ke arah dalam talian dan komunikasi maya.

“Bagaimanapun, segmen logistik dan penerbangan dijangka mencatatkan pemulihan memberangsangkan disokong oleh normalisasi operasi di tengah-tengah pembukaan semula sempadan antarabangsa,” katanya.

© Berita Harian 

Leave a Reply

Your email address will not be published.