January 30, 2023

Tidak wajar kritik Perdana Menteri secara terbuka, elak pentadbiran kerajaan nampak lemah

2 min read

Tidak wajar pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO membuat kritikan terbuka terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana beliau adalah dari parti yang sama yang kini Naib Presidennya memegang jawatan penting mentadbir negara.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed mengkritik Ismail Sabri dengan kata-kata yang agak keras mendakwa Perdana Menteri sebagai seorang yang mempunyai sifat lemah.

Walaubagaimanapun, mungkin terdapat masalah dalam pentadbiran Perdana Menteri, banyak langkah yang beliau lakukan perlu diakui memberi kesan yang baik kepada rakyat terutamanya berkaitan dengan beban pengguna.

Ahli Parlimen Bera itu dilihat sebagai Perdana Menteri yang pertama memansuhkan permit AP import ayam dan barang keperluan lain dari luar negara.

Ini membuka seluasnya peluang kepada sesiapa sahaja boleh mengimport ayam sesuai dengan syarat yang dikenakan dan hasilnya tiada lagi kewujudan orang tengah yang memanipulasi harga barang keperluan rakyat.

Ismail Sabri juga ada membuat arahan untuk menyekat ayam dari dieksport ke luar negara bagi menampung kekurangan stok bekalan ayam dalam negara untuk keperluan rakyat.

Beliau juga ambil tindakan untuk berdepan dengan penternak ayam yang kini ibarat kartel yang mampu mempengaruhi pergerakan harga ayam apabila mengambil subsidi kepada penternak dan memberikannya terus kepada pengguna.

Bantuan secara tunai untuk menampung harga ayam naik diberikan dalam bentuk tambahan ke dalam Bantuan Keluarga Malaysia Fasa 2 yang mula dibayar pada Isnin lepas.

Perdana Menteri baru sahaja menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi untuk fikirkan jalan bagi atasi masalah peningkatan kos sara hidup saban hari semakin tinggi.

Ismail Sabri juga adalah orang yang menaikkan martabat Bahasa Melayu yang diwajibkan untuk digunakan bagi program rasmi kerajaan di dalam dan luar negara malahan beliau juga berucap menggunakan Bahasa Melayu pada majlis persidangan antarabangsa di luar negara.

Perdana Menteri yang pertama boleh duduk bersama wakil rakyat pembangkang untuk menandatangani perjanjian persefahaman saling membantu membangunkan negara demi rakyat dan negara yang menderita kesan daripada pandemik COVID-19.

Ismail Sabri ialah pemimpin yang berjaya mendapat kelulusan untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021.

Beliau juga boleh dianggap sebagai Perdana Menteri yang pertama dari UMNO juga boleh dianggap sebagai seorang Perdana Menteri yang mentadbir negara dengan cara yang unik apabila membentuk kerajaan dengan pelbagai parti lain untuk mentadbir negara untuk kepentingan rakyat.

Nur Jazlan sepatutnya membuat teguran mungkin melalui saluran lain dalam parti supaya ia tidak menampakkan UMNO dan BN lemah serta ada isu perpecahan.

Ismail Sabri pula merupakan Ketua Pembangkang bagi BN ketika selepas BN kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018 yang lalu.

Ketika negara baru-baru dilanda COVID-19 Ismail Sabri diberikan tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Pertahanan yang menguruskan perkara berkaitan prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam masa sekarang semua pihak dalam UMNO sepatutnya secara terbuka menyokong Ismail Sabri dan menyampaikan teguran atau berbincang secara bersama secara tertutup jika ada masalah atau tidak berpuas hati dengan cara pentabiran beliau.

Mengkritik dengan membuat dakwaan begitu, sememangnya tidak wajar.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *