Bayaran untuk ‘porter’ dan Malim Gunung di Gunung Kinabalu akan diselaraskan
2 min read
Pemandangan puncak Gunung Kinabalu.
Bayaran untuk perkhidmatan porter biasa yang mengangkat barangan pengendali penginapan dan restoran di Gunung Kinabalu akan diselaraskan dengan bayaran malim gunung yang membawa barangan pendaki.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin, berkata bayaran itu perlu mengikut kadar yang ditetapkan Taman-Taman Sabah (TTS) yang bertanggungjawab terhadap pengurusan Taman Kinabalu di Kundasang, Ranau.
Beliau berkata, ketika ini kadar upah ditetapkan TTS untuk porter mengangkat barang pendaki Gunung Kinabalu sebanyak RM13 sekilogram (kg) dengan berat minimum 10kg, manakala kadar bayaran porter mengangkat barangan syarikat pengendali penginapan dan restoran pula hanya RM5kg.
Katanya, kadar itu rendah berbanding kadar upah ditetapkan TTS ketika ini iaitu RM5.50kg.
“Laporan TTS menunjukkan secara purata pendapatan seorang porter pendaki Gunung Kinabalu dengan pendakian 12 kali sebulan sebanyak RM3,540, manakala porter biasa hanya mendapat RM2,625 dengan 15 pendakian sebulan dan berat 35kg sekali pendakian.
“Oleh itu berharap pihak Sutera Sanctuary Lodge dan Mountain Torq dapat mempertimbangkan untuk menyelaraskan kadar upah yang sama dengan TTS,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, satu sesi dialog diadakan antara TTS, Sutera Sanctuary Lodge, Mountain Torq, Persatuan Malim Gunung dan Persatuan Porter Gunung Kinabalu.
Sutera Sanctuary Lodge dan Mountain Torq adalah dua syarikat yang mengendalikan penginapan dan restoran serta aktiviti pendakian mencabar via feratta.
Jafry berkata, bagi perkhidmatan malim gunung kadar upah ketika ini sebanyak RM230 untuk tempoh dua hari satu malam dengan purata seorang malim gunung melakukan 13 pendakian mengiringi pendaki dalam sebulan dengan anggaran pendapatan RM2,990.
“Kadar upah porter dan malim gunung ini akan dibincangkan dari semasa ke semasa supaya mereka mampu meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan serta mempunyai standard kehidupan yang lebih baik.
“Upah mereka perlu sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan khususnya kepada pendaki Gunung Kinabalu,” katanya.
Kerajaan Sabah turut meluluskan bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Malim Gunung dan Persatuan Porter Gunung Kinabalu bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
© Berita Harian