August 9, 2022

Ekonomi ASEAN dijangka meningkat 4.9 peratus tahun 2022

2 min read

Ekonomi negara-negara anggota ASEAN diunjur mencatat pertumbuhan 4.9 peratus tahun ini dan seterusnya 5.2 peratus pada 2023 dalam persekitaran pemberian vaksin COVID-19 yang tinggi namun kekal mencabar, kata satu laporan.

Keberkesanan program vaksinasi tersebut telah membolehkan pembukaan semula negara-negara anggota kesatuan terbabit, sekali gus mempercepat aktiviti ekonomi dan menyokong pemulihan pasaran pekerjaan.

Menurut laporan Direktorat Pemantauan Integrasi ASEAN bagi Sekretariat ASEAN yang dikeluarkan baru-baru ini, kadar vaksinasi penuh mencecah 65.9 peratus daripada jumlah penduduk manakala 25.2 peratus telah mendapat suntikan penggalak masing-masing sehingga Mei 2022.

Laporan Taklimat Integrasi Ekonomi ASEAN (AEIB) bagi edisi ke-11 itu menyatakan, negara-negara terbabit dijangka dibuka sepenuhnya menjelang separuh kedua tahun ini.

Selain itu, laporan tersebut turut mengetengahkan bahawa sentimen optimis kekal ketara setakat tahun ini dengan indeks pembuatan terus mencatat momentum baik biarpun terdapat risiko varian COVID-19 dan lonjakan harga komoditi dalam separuh pertama tahun ini.

Ekonomi rantau tersebut tumbuh sebanyak 3.0 peratus pada tahun lepas daripada penguncupan sebanyak 3.2 peratus pada 2020, didorong oleh penggunaan dan perdagangan yang memberangsangkan.

Kadar pengangguran yang melonjak ketika pandemik sebaliknya berkurangan pada 2021 manakala perdagangan berkembang sebanyak 25.1 peratus kepada US$3.34 trilion dalam 2021 (US$1=RM4.40) yang melepasi paras dicatatkan pada tempoh pra-pandemik.

Pelaburan pula merekodkan pertumbuhan sebanyak 42.3 peratus kepada US$174.1 bilion pada 2021, terutamanya dalam pembuatan, perkhidmatan kewangan dan insurans, maklumat serta komunikasi.

Bagaimanapun, konflik di Eropah Timur telah menjejaskan pemulihan ekonomi global dan rantau ini apabila gangguan dalam rantaian nilai global menyebabkan ketidaktentuan harga, terutama bagi tenaga serta komoditi makanan.

Malah, laporan itu menyifatkan tekanan inflasi yang ketara boleh menjejaskan kemampuan pembelian pengguna serta pengeluaran perindustian.

Keadaan ini turut memburukkan lagi risiko akibat dasar normalisasi ekonomi-ekonomi utama yang secara beransur-ansur keluar daripada dasar bersifat akomodatif ketika pandemik tersebut.

Laporan itu turut menegaskan bahawa dasar kadar faedah lebih ketat di negara-negara besar, terutama Amerika Syarikat (AS), boleh mencetuskan aliran keluar dana dalam negara-negara sedang pesat membangun serta menjejaskkan lagi ketidaktentuan luaran.

Ini terbukti apabila sebahagian besar negara anggota menyaksikan kadar pertukaran asing menyusut berbanding dolar AS, terutama selepas pihak Rizab Persekutuan AS mengambil pendirian meningkatkan kadar faedah sejak Mac 2022.

Menurut laporan itu, ketika sebahagian besar keadaan ekonomi dan kewangan kekal terurus bagi separuh pertama 2022, beberapa anggota sebaliknya bertindak mengetatkan lagi dasar sedia ada.

Sehubungan itu, ia mengingatkan agar bank-bank pusat sentiasa peka dan bekerjasama untuk meningkatkan ketahanan terhadap kejutan di masa depan, termasuk ketidakpastian kewangan dari dalam serta luar rantau ini.

Pada tahap awal pandemik, ASEAN telah menekankan komitmen untuk saling bekerjasama bagi mengatasi krisis selain memperhebatkan usaha bagi aspek kemampanan dan pendigitalan.

Selain itu, peralihan ke arah ekonomi kitaran, pendirian mengenai karbon dan ekonomi digital dijangka akan terus memacu pembangunan rantau itu dalam tahun-tahun akan datang, kata laporan tersebut. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.