January 30, 2023

Langkah atasi kesesakan di ibu negara berjaya, kesesakan berkurangan pada waktu puncak

2 min read

Penubuhan Pasukan Task Force untuk selesai masalah kesesakan trafik di ibu negara Kuala Lumpur nampaknya sudah sedikit sebanyak menampakkan perubahan apabila keadaan trafik keluar dan masuk kelihatan sedikit lancar sejak kebelakangan ini.

Dua minggu lepas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam satu kenyataan media telah memaklumkan mengenai penubuhan pasukan berkenaan yang akan meneliti punca dan menyelesaikan masalah berkenaan.

Antara halangan yang dikenalpasti adalah seperti kemalangan, kenderaan rosak, kerja-kerja pembinaan lebuhraya konsesi, kerja-kerja pembangunan baru yang melibatkan penutupan atau lencongan jalan melalui kaedah Traffic Management Plan (TMP), penyelenggaraan jalan, tanah mendap, air bertakung, pokok tumbang, kerosakan lampu isyarat, kenderaanibubapa urusan hantar/ambil anak sekolah dan juga berlaku cross traffic dari jalan konsesi ke jalan sedia ada menyumbang kepada kesesakan jalan-jalan di Kuala Lumpur.

Tinjauan mendapati beberapa laluan masuk ke dalam ibu kota dari selatan dan utara memperlihatkan kelancaran trafik apabila kenderaan bergerak lancar.

Laluan berhampiran Lapangan Terbang TUDM di Sungai Besi hala masuk ke Kuala Lumpur dilihat lancar dek kerana langkah menghalang kenderaan berat menggunakan jalan utama di ibu kota ketika waktu puncak pagi dan petang berhasil.

Kemudian, laluan masuk ke ibu negara melalui Lebuhraya Sultan Iskandar juga dilihat lancar pada waktu pagi apabila pasukan unit trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan operasi menghalang kenderaan berat daripada memasuki ibu negara giat dijalankan.

Makluman mengenai keadaan trafik di papan tanda digital di pintu masuk ke ibu kota yang memaparkan keadaan trafik terkini juga amat membantu.

Selain itu, orang ramai sudah kembali mula menyahut saranan kerajaan untuk menggunakan pengangkutan awam apabila bulan ini kerajaan memberikan tambang percuma kepada khidmat pengangkutan awam di bawah RapidKL selama sebulan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Jika ada kesesakan pun, tinjauan mendapati kesesakan berkenaan bergerak walaupun perlahan dan tidak menjadi kesesakan pegun yang akan memakan masa lama untuk pengguna jalan raya sampai ke destinasi.

Ia adalah bukti strategi jangka pendek yang diambil oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan berjaya untuk menangani isu kesesakan trafik di ibu negara.

Dalam kenyataan Jalaluddin juga, beliau berkata pihak kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memastikan tindakan penguatkuasaan trafik akan dilakukan secara drastik dan konsisten bermula serta-merta bagi memastikan beberapa punca kepada kesesakan jalan raya dapat diatasi segera. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *