January 30, 2023

Banjir Baling: Operasi mencari tiga ahli keluarga yang hilang diteruskan hari ini

2 min read

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa hilang dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir yang melanda Kampung Iboi di Baling, Kedah petang semalam diteruskan jam 7 pagi hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat, skop pencarian pagi ini akan diperluaskan, selain penglibatan beberapa tambahan agensi yang berkaitan.

Katanya, setakat jam 3 pagi tadi, polis masih belum menemui sebarang petunjuk berhubung kehilangan mangsa yang berumur antara 14 dan 53 tahun itu.

Mangsa – Salmah Mat Akib, 53 tahun, anaknya Mohd Khairul Ikhwan, 14 tahun, dan menantunya Nurul Hanis Abu Hassan, 23 tahun – difahamkan berada di dalam sebuah rumah sebelum dihanyutkan arus deras.

“Setakat ini, kita masih menggerakkan usaha SAR, di mana kita telah menerima satu laporan polis yang dibuat satu ahli keluarga melibatkan kehilangan tiga ahli keluarganya yang kita kategorikan sebagai orang hilang, iaitu melibatkan dua perempuan Melayu dan satu kanak-kanak Melayu berusia 14 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Kubang awal pagi ini.

Dalam perkembangan sama beliau memaklumkan, dua mangsa yang berusia lingkungan 40-an hingga 50-an juga disahkan mengalami kecederaan ringan susulan kejadian banjir.

Mereka kini dirawat di Hospital Baling dan berada dalam keadaan stabil. “Setakat jam 2 pagi ini, kita telah memindahkan seramai 334 orang (penduduk kampung) ke PPS manakala pelajar-pelajar di (Sekolah Menengah Agama) Yayasan Al-Khairiah seramai 1,008 masih berada di sekolah itu dalam keadaan baik.

“(Ini) kerana air telah surut (sedikit) dan hanya (tinggal) kesan-kesan kotor lumpur dan sebagainya,” kata Shamsudin. Terdahulu petang semalam, hujan lebat hampir tiga jam di daerah Baling menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki penempatan penduduk yang berdekatan.

Air sungai yang mengalir deras turut membawa batang pokok dan sampah sarap sehingga memenuhi jalan dan kediaman penduduk.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling yang juga Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, sehingga jam 9 malam, empat kampung terjejas dengan tiga PPS dibuka.

© Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *