August 9, 2022

Cadangan galeri Mat Kilau dipersetujui pewaris dengan syarat

1 min read

Pewaris Mat Kilau bersetuju terhadap cadangan sebuah galeri tokoh pahlawan itu diwujudkan di Kuantan sebagai tempat rujukan pencipta sejarah Mat Kilau yang menjadi kebanggaan rakyat Pahang.

Cucu Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 56, namun berkata pembukaan galeri itu perlu dibina di tapak lain bukannya di tanah pusaka milik Mat Kilau.

“Kalau di tanah persendirian (tanah Mat Kilau) saya tidak setuju kerana itu adalah tanah pusaka. Buatlah galeri di tempat lain contohnya berdekatan Menara Kuantan atau muzium seni yang bersebelahan pejabat agama Islam negeri.

“Patern rumah Mat Kilau seingat saya ia hanya sebuah pondok buruk sahaja, ramai yang salah faham itu adalah rumah ayah saya. Apabila pondok buruk itu hendak roboh dan Mat Kilau sakit, tokoh pahlawan itu di bawa ke rumah mak saya.

“Pada ketika itu rumah mak saya dengan rumah Mat Kilau lebih kurang 10 meter sahaja yang terletak di Batu Lima, Jalan Gambang dan tiada bentuk rumah Mat Kilau sebenarnya,” katanya.

Sabtu lalu, aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli mencadangkan kerajaan Pahang dan syarikat Produksi Studio Kembara membangunkan semula rumah peninggalan tokoh pahlawan Mat Kilau di Pulau Tawar, Jerantut dan Batu Lima Jalan Gambang, di sini.

Katanya, pembinaan semula kediaman Mat Kilau di dua lokasi itu dilihat sebagai usaha untuk menjadikan produk pelancongan yang mempunyai nilai sejarah kepada negara ini.

© Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.