January 30, 2023

Banjir Baling: JAKIM sumbang RM 1.58 juta hasil Tabung Musa’adah

1 min read

Datuk Ahmad Marzuk Shaary (kanan) menyerahkan replika cek sebahagian daripada peruntukkan Tabung Musa'adah JAKIM untuk diagihkan kepada mangsa banjir Baling. - Foto AWANI

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyumbang peruntukkan lebih RM1.58 juta kepada mangsa tragedi kepala air di Kupang, Baling yang terjejas ekoran bencana yang berlaku pada petang Isnin lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, peruntukkan dari Tabung Musa’adah yang dikendalikan JAKIM itu antaranya merangkumi bantuan ‘one off’ RM1,000 kepada setiap isi rumah.

“Keseluruhan peruntukan ini untuk kesemua mangsa terlibat ini (dan) mereka perlu membuat laporan polis untuk melayakkan mereka mendapat sumbangan daripada Tabung Musa’adah sebanyak RM1,000 satu ketua isi rumah,” kata beliau kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Marzuk, peruntukkan terbabit turut merangkumi kos baik pulih dan membeli kelengkapan serta perabot untuk tiga buah rumah mangsa banjir.

Kata beliau, usaha yang diambil JAKIM itu merupakan bantuan segera yang disalurkan untuk membantu mangsa banjir.

Beliau berkata, JAKIM juga akan berkoordinasi dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan juga beberapa kementerian terbabit yang berkaitan kerosakan, pembinaan rumah dan sebagainya.

Ahmad Marzuk turut memaklumkan, selain daripada pemberian ini, pihaknya juga akan meneliti semula sekiranya terdapat keperluan untuk menyalurkan bantuan lain kepada mangsa mengikut keperluan semasa.

Dalam pada itu, sebanyak RM70,000 juga telah disumbang kepada Sekolah Menengah Agama Yayasan Al-Khairiah, yang terjejas.

Beliau dalam masa sama menasihatkan penduduk di daerah ini yang mendiami kawasan berhampiran sungai untuk sentiasa berwaspada dan bersedia untuk mengelakkan daripada risiko jika bencana itu berlaku lagi.

© Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *