December 8, 2023

Kenderaan berat masuk ke pusat bandar punca kesesakan trafik di ibu kota

2 min read

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias (dua, dari kiri) bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah memeriksa seorang pengendali kenderaan berat dalam Operasi Bersepadu yang diadakan tiga agensi pagi tadi di ibu negara.

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memaklumkan hasil pemerhatian kajian menyeluruh mendapati kenderaan berat yang masuk ke pusat bandar Kuala Lumpur pada waktu puncak adalah faktor kesesakan trafik dalam bandaraya.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam satu kenyataan berkata satu operasi bersepadu dijalankan pagi tadi di beberapa lokasi di ibu negara melibatkan kerjasama tiga agensi yang diketuai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kalau Lumpur.

Agensi lain yang terlibat ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau hari ini hadir sendiri meninjau operasi berkenaan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

“Justeru, pasukan task force bagi mengawal isu kesesakan di Kuala Lumpur telah, sedang dan akan terus membuat operasi bersepadu bagi mengesan pemandu-pemandu kenderaan berat yang tidak patuhi arahan.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, sekarang ini pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama Polis KL dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia akan terus menggandakan penguatkuasaan untuk kita atasi isu berkenaan,” kata Jalaluddin dalam ciapannya di laman Twitter hari ini.

Menurut kenyatan berkenaan, Operasi Bersepadu pada hari ini merupakan satu inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama agensi penguatkuasaan dengan tujuan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di sekitar ibu kota.

Jalaluddin berkata operasi berkenaan bertujuan mengambil tindakan tegas ke atas pengendali / pemandu
kenderaan berat yang tidak mematuhi peraturan laluan waktu terhad sepanjang tempoh operasi.

“Ia juga diadakan untuk mengurangkan kadar kesesakan lalulintas terutama pada waktu puncak,” katanya.

Operasi bersepadu tadi diadakan di lima lokasi utama iaitu Jalan Istana (Istana Negara lama), Lebuhraya Sultan Iskandar (Jalan Mahameru), Jalan Tun Razak, Jalan Dewan Bahasa dan Jalan Kuching.

Menurut beliau, pengendali dan pemandu kenderaan berat yang didapati melakukan kesalahan akan dikenakan Notis Kompaun di bawah (Akta 333) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jalaluddin memaklumkan sejak Januari hingga Jun tahun ini sebanyak 1,332 notis kompaun telah dikeluarkan oleh tiga agensi iaitu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (847 kompaun), JPJ (90 kompaun) dan DBKL (395 kompaun).

Agensi berkaitan akan terus komited meneruskan pemantauan secara rondaan harian mengikut bidang kuasa masing-masing, kata beliau. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *