January 30, 2023

Masih menganggur? Nantikan Selangor Mega Job Fair pada September hadapan

1 min read

Program Selangor Mega Job Fair 2022 yang berlangsung pada 11 Jun dan 12 Jun lalu di Pusat Konvensyen MBSA di Petaling Jaya berjaya menarik kehadiran 8,201 calon yang sedang mencari pekerjaan.

Exco Generasi Muda, Sukan Dan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, daripada jumlah itu, 1,996 daripadanya telah diterima kerja manakala 3,601 lagi calon berjaya menjalani temu duga kali kedua.

Menurutnya, program sama akan diteruskan pada September depan bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dalam usaha mengekalkan kadar pengangguran di bawah empat peratus.

“Program Selangor Mega Job Fair yang akan diadakan nanti bakal melibatkan penyertaan lebih 200 syarikat yang memfokuskan sektor perhotelan, industri sukan dan peluang kerjaya untuk orang kurang upaya (OKU).

“Diharapkan rakyat Selangor, khususnya golongan belia dapat mengambil peluang ini dengan mendaftar di www.selangorjobportal.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pekerjaan yang ditawarkan untuk bersama-sama memenuhi dan meningkatkan peluang tenaga kerja di Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Penganjuran Selangor Mega Job Fair Jun lalu menawarkan lebih 20,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dengan lebih 100 majikan syarikat turut serta dalam pameran kerja itu.

Antara 100 majikan itu adalah Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB, Hicom Berhad, Giant Malaysia, Malayan Banking Berhad dan Media Prima Digital.

© Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *