January 30, 2023

Vanidah selamat bergelar isteri kepada jurutera

2 min read

Ucapan syukur tidak henti-henti dipanjatkan Vanidah sebaik Arifabillah Idris melafazkan akad sekitar pukul 12.12 tengah hari tadi menandakan rasmi sudah mereka kini sebagai suami isteri.

Vanidah, 49, dan Arifabillah, 43, disatukan dalam satu majlis yang sederhana namun penuh bermakna yang dihadiri oleh 50 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat. Kata Vanidah, dia bersyukur kerana ditakdirkan bertemu jodoh dengan Arifabillah, yang juga seorang jurutera serta pesilat negara.

“Aturan Allah itu sangat indah. Semuanya berjalan dengan mudah dari saat kami berkenalan, rapat sehinggalah memasuki fasa saling memahami bahawa hati kami sudah bertaut antara satu sama lain. Hari ini, rasmi sudah saya menjadi isterinya. Saya benar-benar bersyukur,” kata Vanidah kepada media.

Majlis pernikahan Vanidah dan Arifabillah dikendalikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi dengan berwalikan adik Vanidah, Johan Imran di sebuah premis di Titawangsa di sini, hari ini.

Vanidah dan Arifabillah sepakat untuk tidak berkongsi jumlah wang hantaran sebagai memenuhi permintaan keluarga. Aktres itu turut menerima mas kahwin berbentuk seutas rantai emas daripada suaminya selain masing-masing berbalas dua dulang hantaran.

Dalam majlis akad nikah itu, Vanidah mengenakan pakaian rekaan Rizman Ruzaini dan solekan oleh Syed Faizal.
Menyedari untuk kembali memikul tanggungjawab sebagai isteri sekali lagi bukan sesuatu yang mudah, namun, restu seluruh ahli keluarga dan sokongan rakan-rakan, hasrat itu dipermudahkan.

“Sejujurnya yang hanya tahu saya dan Arifabillah mempunyai hubungan istimewa hanyalah kawan rapat selain keluarga dan dua anak saya, Mikail Aimran dan Maryam Rashika. Kawan rapat pun hanya dimaklumkan saya beberapa hari sebelum majlis pernikahan. Ada di antara mereka terkejut dengan berita ini, namun dalam masa tumpang gembira terhadap keputusan dibuat,” ujarnya lagi.

Kata Vanidah, sejujurnya dia gembira dan bersyukur kerana bertemu jodoh dengan Arifabillah yang memiliki persamaan dengannya.Jelas Vanidah, dia dan suaminya, berpengalaman melalui kegagalan dalam perkahwinan pertama serta dikurniakan anak, justeru, persefahaman lebih mudah dicapai.

“Kami pernah berkahwin. Masing-masing pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Dia sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata. Jadi paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak perlu diutamakan,” kata Vanidah yang kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pasangan itu juga akan diraikan dalam satu majlis resepsi malam ini khusus untuk kaum keluarga terdekat dan rakan-rakan karib mereka. Sementara itu, Arifabillah turut memanjatkan kesyukuran kerana niat dia dan Vanidah untuk menghalalkan hubungan mendapat restu keluarga.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah segala-galanya berjalan lancar. Doakan perkahwinan kami diberkati dan akan kekal sehingga ke akhir hayat kami,” ujarnya. Sebagai pasangan yang matang dan berpengalaman melalui kegagalan dalam perkahwinan pertama, harapan Arifabillah, penyatuan dia dan Vanidah akan membuahkan kebahagiaan berpanjangan.

Arifabillah juga menegaskan, dia tidak akan sesekali menyekat Vanidah daripada meneruskan kerjaya seninya.
“Saya harus menghormati dan memahami kerjaya seninya. Saya juga yakin isteri saya tahu apa keutamaan dalam hidupnya. Justeru, saya akan terus memberi sokongan kepadanya,” ikrfar Arifabillah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *