January 30, 2023

Rakyat perlu bijak berbelanja kerana kadar OPR naik

2 min read

Pakar-pakar ekonomi berpandangan kenaikan kadar faedah bank atau Kadar Dasar Semalaman (OPR) di negara ini memberi gambaran bahawa rakyat perlu berhemah dalam pengurusan kewangan masing-masing.

Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, pengurusan kewangan berhemah itu termasuklah hanya membeli barang yang perlu, tidak membuat pinjaman atau pembiayaan baharu dan tidak membeli barangan import.

Ini kerana katanya, dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini semua pihak perlu tahu membezakan antara keperluan dan kehendak. Utamakan perbelanjaan berhemah ini maksudnya orang ramai hanya perlu membuat pembelian terhadap barang yang perlu dan tidak membeli barang berjenama atau mewah.

“Paling penting, dalam tempoh ini juga rakyat tidak membuat pinjaman atau menambah pembiayaan baharu atau dalam erti kata lain beli kereta yang mampu dibayar atau beli rumah untuk didiami bukan tujuan untuk pelaburan tambahan dan sebagainya,” katanya kepada media.

Mengulas lanjut, Baharom berkata, rakyat juga perlu sedar bahawa OPR dinaikkan atau polisi penguncupan dibuat bagi mengawal kenaikan harga barang daripada terus melambung.

“Orang ni kadang-kadang dia silap mengatakan BNM menaikkan kadar faedah ini menyusahkan tetapi sebenarnya mereka menaikkan OPR itu demi untuk memperlahankan kenaikan harga barang atau memberhentikan kenaikan harga barang,” ujarnya.

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol bahawa rakyat perlu berdisiplin dalam berbelanja serta menguruskan kewangan ketika ini. Peningkatan OPR berulang-kali dalam tempoh yang singkat juga akan memberi kesan buruk kepada rakyat.

“Walaupun peningkatan kadar OPR ini bertujuan untuk mengawal kadar inflasi yang semakin meningkat namun ia memberi mesej sangat jelas kepada rakyat khususnya B40 agar mereka perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan memberi impak perubahan dalam perbelanjaan isi rumah”.

“Selain itu ia juga memberi mesej kepada rakyat agar mereka perlu menguruskan kewangan diri dan keluarga secara berhemah dan bersederhana”.

Kenaikan OPR akan menyebabkan bayaran bulanan kereta, bayaran rumah, pembiayaan peribadi dan beberapa lagi produk bank mengalami kenaikan kadar bayaran berbanding sebelum ini.

“Dalam situasi ini juga rakyat dinasihatkan lebih bijak membuat pilihan,” ujar beliau.

© Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *