January 30, 2023

Warga Malaysia menjadi kes pertama cacar monyet di Singapura

1 min read

Singapura telah mengesahkan kes pertama jangkitan tempatan cacar monyet, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan lewat semalam.

Mangsa adalah lelaki warga Malaysia berusia 45 tahun yang tinggal di Singapura dan disahkan positif semalam.

Beliau dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di wad Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID) di Singapura, kata MOH.

Mangsa tiada kaitan dengan kes cacar monyet import sebelum ini yang diumumkan di Singapura pada 21 Jun lalu. Mangsa menyedari kesan luka pada kulit di kawasan perutnya pada 30 Jun lalu dan seterusnya mengalami keletihan dan bengkak kelenjar limfa pada 2 Julai lalu.

“Ini diikuti demam dan sakit tekak pada 4 Julai lalu, mendorongnya mendapatkan rawatan, di mana ujian seterusnya mengesahkan jangkitan cacar monyet,” kata MOH.

Menurut MOH lagi, beberapa kontak rapat mangsa sudah dikenal pasti setakat semalam termasuk dua rakan serumah dan seorang kontak sosial, kesemua mereka dikuarantin selama 21 hari bermula dari hari terakhir bertemu mangsa.

Pengesanan kontak masih diteruskan MOH, yang menjelaskan bahawa mangsa cacar monyet lazimnya sembuh dalam tempoh antara dua hingga empat minggu, dengan hanya sebilangan kecil mangsa jangkitan mengalami kesan serius atau maut.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *