January 30, 2023

Amalan aneh bergambar sebelum dihukum mati kekal tradisi Singapura

3 min read

Tahanan Kalwant Singh dirakam gambar dalam posisi tersenyum sebelum menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura pagi tadi.

Sehari sebelum dihukum gantung sampai mati, Kalwant Singh dirakam tersenyum bergambar di Penjara Changi, Singapura.

Seorang aktivis anti hukuman mati, Kokila Annamalai, berkongsi gambar seorang warga Malaysia Kalwant Singh, dirakam dalam satu sesi penggambaran yang dilihat sebagai satu amalan aneh dijalankan pihak berkuasa penjara negara itu, di mana banduan bilik akhir diarahkan untuk memakai pakaian kegemaran mereka dan senyum ke arah kamera beberapa hari sebelum menjalani hukuman mati.

Kokila turut menceritakan saat-saat akhir Kalwant bersama ahli keluarganya, dan bagaimana beliau menemani mereka untuk membeli pakaian baru di pusat beli belah Mustafa yang popular di Singapura.

Ia berlaku beberapa hari sebelum hukuman matinya yang dijatuhkan enam tahun lalu selepas didapati bersalah menyeludup 60gm – kira-kira setengah cawan – diamorfin.

“Mereka pilih semua barangan dengan rapi dan penuh kasih sayang.

“Mereka cari kemeja dengan logo Manchester United dan buat keputusan untuk beli seluar joging daripada beli seluar jeans kerana tidak tahu saiz pinggangnya,” kata Kokila dalam sebuah hantaran Facebook.

“Saya pilih kasut dan topi untuknya, dan malam semalam, sewaktu lawatan terakhir, dia minta keluarganya beritahu saya yang dia jalan dan berlari di koridor (penjara) beberapa kali gunakan kasut barunya itu.”

Kokilla berkata saat-saat akhir keluarga itu meluangkan masa bersama dengan Kalwant adalah penuh “dengan ketawa dan gurau senda”.

Dalam salah sebuah gambar yang dikongsinya, Kalwant dilihat memakai kemeja T berlengan panjang dan seluar trek sambil bergaya di sebelah kerusi.

Lelaki berusia 31 tahun itu dihukum gantung awal pagi tadi, beberapa jam selepas mahkamah menolak rayuan akhirnya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Gambar tersebut adalah satu daripada hasil tradisi penjara yang kontroversi yang dijalankan oleh pihak berkuasa Singapura terhadap banduan yang dijadualkan menjalani hukuman mati.

Pengkritik menyifatkan sesi penggambaran yang menunjukkan banduan dalam keadaan ceria adalah satu kekejaman, namun pihak berkuasa setakat ini tidak memberikan sebarang penjelasan mengenai perkara itu yang dianggap satu amalan yang mengerikan.

Sesi penggambaran serupa turut dilakukan terhadap seorang lagi warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam yang dihukum gantung pada April lalu walaupun pelaksaanaan hkuman terhadapnya mengundang kecaman antarabangsa berikutan keadaannya yang merupakan orang kurang upaya, sekali gus menjadikan pelaksanaan hukuman ke atasnya sebagai tidak sah di sisi undang-undang di bawah perjanjian antarabangsa yang ditandatangani Singapura.

Beberapa hari sebelum dihukum bunuh, Nagaenthran dirakam bergaya sambil duduk di atas sebuah kerusi yang kelihatan sama dengen memakai kemeja T berkolar, jeans dan kasut.

Aktivis hak asasi Singapura M Ravi adalah antara mereka yang mempersoalkan sesi penggambaran yang dijalankan ke atas mereka yang dijatuhkan hukuman mati.

“Pernah orang kata, di China mereka akan minta keluarga untuk beli peluru (yang digunakan ketika hukuman) atau buat sesuatu seperti itu, jadi di Singapura juga ada perkara mengerikan semacam itu… ia adalah satu lagi bentuk hukuman, kezaliman,” kata peguam terkemuka itu kepada program MalaysiaNow, Talk, Now baru-baru ini.

“Sehingga hari ini, saya tidak tahu sebabnya, tiada maklum balas rasmi mengenai perkara ini.”

Beliau turut mengenang sebuah kejadian bagaimana seorang ibu banduan warga Singapura, Shanmugam Murugesu, menunjukkan sebuah gambar anak lelakinya, yang diambil sebelum menjalani hukuman mati pada 2005.

“Dia berkata gambar itu diambil sebelum (Shanmugam) dihukum bunuh, ia seperti gambar biasa. Dia seperti seorang model, di meja dengan bersut lengkap dan kemudian anda berikan kepada keluarganya dan kemudian mereka gantung gambar itu. Saya tidak faham mengapa mereka perlu lakukan semua ini. Itulah sebabnya kekejaman seperti ini tak dapat diterima akal.”

Singapura tetap berkeras mempertahankan hukuman mati bagi penyeludup dadah ke negara itu, walaupun pengkritik berkata kebanyakan yang menerima hukuman adalah daripada golongan keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin, sementara dalang sebenar masih bebas terlepas.

Singapura juga turut dilihat menyasarkan aktivis dan peguam yang mewakili banduan bilik akhir, di mana mereka dikenakan denda dan dituduh melanggar prosedur.

© MalaysiaNow

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *