January 30, 2023

Lapan individu ditahan di sarang memproses syabu di Kuala Lumpur

2 min read

Sebuah kondominium di Kuala Lumpur yang dijadikan sarang memproses dadah diserbu sepasukan polis awal pagi Rabu lalu yang membawa kepada penahanan lapan individu terdiri daripada dua warga tempatan dan enam warga asing.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata dalam serbuan pada jam 7 pagi di sebuah kondominium di Jalan Law Yew Swee itu, dua warga tempatan masing-masing seorang lelaki dan wanita telah ditahan dan pelbagai jenis dadah bersama peralatan dan bahan memproses dadah dirampas.

Menurut Noor Dellhan, hasil soal siasat yang dijalankan ke atas dua individu itu, polis telah melancarkan empat serbuan di sekitar kawasan pentadbiran IPD Dang Wangi dan telah menahan lima lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya merupakan warga asing.

“Dalam serbuan tersebut, polis telah merampas pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine seberat 796 gram; methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) (382 g); serbuk MDMA (353 g); cecair methamphetamine (220 mililiter); ketamin (211.62 g) dan cecair MDMA (25 ml) dengan nilai rampasan kira-kira RM191,693,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Dellhan berkata kesemua individu yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun dan disyaki terlibat secara langsung dalam kegiatan memproses dan membungkus dadah untuk pasaran di sekitar Lembah Klang serta telah bergiat aktif sejak setahun lalu.

“Saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati empat suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine manakala empat lagi adalah negatif,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis sehingga 14 Julai.

“Polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pengedaran atau penagihan dadah dan diharapkan masyarakat dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah dan jenayah kepada polis,” katanya.

© Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *