January 30, 2023

Tanzania dilanda penyakit misteri

1 min read

Tanzania menghantar sepasukan doktor dan pakar kesihatan untuk menyiasat penyakit misteri yang meragut nyawa tiga orang di wilayah Lindi, tenggara negara itu.

Gejala penyakit itu termasuk demam, sakit kepala, keletihan dan pendarahan hidung, kata Ketua Pegawai Perubatan kerajaan Aifello Sichalwe dalam satu kenyataan.

Setakat ini, 13 kes dilaporkan di wilayah Lindi, termasuk tiga orang yang maut.

Sichalwe berkata, ujian terhadap pesakit bagaimanapun menunjukkan keputusan negatif untuk virus Ebola, Marburg serta COVID-19.

“Seorang daripada pesakit sudah pulih sepenuhnya manakala yang lain sedang diasingkan.

“Kerajaan membentuk satu pasukan profesional yang masih menyiasat penyakit yang tidak diketahui ini,” tambahnya sambil meminta orang ramai di kawasan itu supaya bertenang.

Ghana minggu lalu, melaporkan dua kes yang disyaki virus Marburg, yang tergolong dalam keluarga yang sama dengan Ebola dan mempunyai gejala termasuk demam tinggi dan pendarahan dalaman dan luaran.

Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan pula berkata, penyakit misteri dan pelik yang dilaporkan di wilayah Lindi mungkin disebabkan oleh ‘interaksi yang semakin meningkat’ antara manusia dan haiwan liar akibat kemerosotan alam sekitar.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *