September 26, 2022

Pemilihan Ismail Sabri sebagai calon PM hadapi PRU15 oleh ‘Top 5’ UMNO adalah tepat

2 min read

Jika kita sorot kembali pada masa ketika Malaysia berada di dalam krisis berkaitan wabak COVID-19 pada awal tahun 2020, siapa yang dilantik untuk mengendalikan segala langkah dan strategi untuk mengelakkan dari wabak berkenaan tersebar dalam negara.

Tokoh berkenaan ialah Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Menteri Kanan Pertahanan pada masa itu.

Beliau menyelesaikan urusan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dan beliau mengadakan sidang media setiap hari memaklumkan perkembangan harian COVID-19 pada masa itu.

Selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri 21 Ogos tahun lepas dan selepas itu lancarkan konsep Keluarga Malaysia, ia sudah menunjukkan bahawa corak pentadbiran ialah corak seorang pemimpin yang meletakkan rakyat di lapis yang paling utama.

Ia disertakan dengan prinsip mengutamakan kemakmuran rakyat dan pulihkan kembali ekonomi negara.

Beliau mahu meletakkan kembali negara ini di atas landasan yang sepatutnya selepas hala tuju negara agak caca marba pasca pandemik COVID-19.

Keberanian di dalam membuat keputusan dengan mengenepikan kepentingan politik peribadi, Ismail Sabri berjaya meyakinkan rakyat bahawa kerajaan Keluarga Malaysia adalah untuk semua dan bukan hanya tertumpu kepada kemakmuran satu kelompok sahaja.

Di awal pakej pemulihan akibat pandemik COVID-19, Perdana Menteri yang juga wakil rakyat Bera mengumumkan bantuan agar disalurkan segera kepada bukan sahaja golongan berpendapatan rendah malah kepada pemilik gerai jalanan hinggalah kepada sektor sederhana.

Di dalam pakej pemulihan tersebut, tiada pihak yang ketinggalan. Semuanya mendapat bantuan dan manfaat dari kerajaan Keluarga Malaysia.

Apa sahaja musibah termasuk banjir, termasuk ketika itu sekiranya Ismail Sabri berada di luar negara atas urusan rasmi kerajaan, bantuan awal pasti akan menyusul sejurus insiden berlaku.

Ketika lonjakan harga barang keperluan harian rakyat secara tiba-tiba seperti harga ayam segar akibat ‘permainan’ kartel, beliau buat keputusan drastik iaitu memansuhkan AP impot ayam dengan tujuan mematikan langkah kartel dan juga orang tengah yang sentiasa memanipulasikan harga runcit ayam segar dan akhirnya keadaan tersebut dapat distabilkan di dalam masa yang singkat malah harga ayam tersebut juga lebih rendah dari harga siling yang ditetapkan.

Begitu juga dengan krisis bekalan minyak masak berpaket plastik 1kg. Ismail Sabri dengan segera mewujudkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Pasukan ini bukan sahaja tertumpu untuk menyelesaikan isu penyeludupan minyak tersebut ke negara jiran tetapi ianya lebih kepada bagaimana Malaysia mengekang kadar inflasi yang akhirnya menjadikan negara ini antara yang terendah kadar inflasi berbanding dengan negara lain di dunia.

Walaupun ada suara jahat dan sumbang yang cuba merosakkan imej Perdana Menteri dengan fitnah liar tetapi sikap beliau yang tenang, kurang bercakap dan menumpukan kepada setiap perancangannya menyebabkan rakyat boleh melihat siri kejayaannya di sepanjang beliau memimpin kerajaan Keluarga Malaysia.

UMNO bertuah dan beruntung kerana Perdana Menteri yang berjaya mengeluarkan negara dari kemelut COVID-19 adalah datangnya dari parti keramat orang Melayu itu.

UMNO juga turut bertuah dan beruntung kerana Ismail Sabri berjaya mengembalikan kepercayaan rakyat kepada partinya melalui kepimpinan yang dibuktikan oleh Ismail Sabri melalui Kerajaan Keluarga Malaysia.

Tidak salahlah ‘Top 5’ UMNO memilih Ismail Sabri sebagai calon tunggal UMNO BN sebagai Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published.