December 9, 2022

China mengelilingi Taiwan

2 min read

China melancarkan latihan ketenteraan besar-besaran yang julung kali membabitkan tembakan peluru hidup di enam kawasan sekeliling Taiwan, hari ini, selepas berang dengan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taipei.

Sejurus dijadualkan pada jam 4 pagi GMT, stesen penyiaran CCTV melaporkan latihan terbabit sudah bermula dan akan berakhir pada jam 4 pagi GMT Ahad ini.

Menurut laporan stesen penyiaran China itu, latihan berkenaan akan meliputi tembakan peluru hidup di air serta ruang udara di sekeliling Taiwan.

Pegawai Taiwan mendakwa latihan ketenteraan itu melanggar peraturan ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mencerobohi ruang wilayah Taiwan, serta merupakan cabaran secara langsung terhadap navigasi bebas udara dan laut.

“China sedang menjalankan latihan di laluan penerbangan serta air antarabangsa yang paling sibuk, dan itu adalah tingkah laku tidak bertanggungjawab serta melanggar undang-undang,” dakwa parti pemerintah Taiwan, Parti Progresif Demokratik (DPP).

Jurucakap Kabinet Taiwan turut menzahirkan kutukan serius terhadap latihan itu, malah mendakwa laman sesawang Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan Pejabat Presiden diserang penggodam.

Malam tadi, hanya beberapa jam selepas Pelosi meninggalkan Taipei untuk meneruskan rangka lawatannya ke Korea Selatan, Kementerian Pertahanan Taiwan mendakwa pesawat tidak dikenal pasti yang berkemungkinan dron, dikesan terbang sekitar kepulauan Kinmen, Taiwan, yang terletak berhampiran pantai tanah besar itu.

Mejar Jeneral Chang Zone-sung daripada Angkatan Pertahanan Kinmen memberitahu, dua dron didakwa terbang ke dalam kawasan Kinmen sebanyak dua kali, kira-kira jam 9 hingga 10 malam tadi.

China mendakwa Taiwan yang memiliki pentadbiran demokrasi sendiri, sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Sehubungan itu, Beijing tegas menyifatkan sebarang pertikaian atau perbezaan wujud antara negara berkenaan dengan Taiwan, adalah hal ehwal dalaman.

Latihan ketenteraan di enam kawasan sekeliling Taiwan, diumumkan berserta peta yang diedarkan siaran agensi berita Xinhua.

Di Beijing, keselamatan di kawasan sekitar Kedutaan AS terus dikawal ketat, hari ini. Bagaimanapun, tiada tanda bantahan signifikan atau desakan untuk memboikot produk AS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *