September 26, 2022

Projek tanaman durian Musang King Gunung Inas tidak mempunyai kelulusan?

3 min read

Syarikat pembangunan ladang durian Musang King yang tertakluk kepada keperluan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) boleh dikenakan tindakan kerana tidak mematuhi syarat kelulusan laporan terbabit.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata JAS kini sedang melengkapkan siasatan bagi tujuan tindakan lanjut di bawah Akta Kualiti Sekeliling 1974.

Mengulas lanjut katanya tindakan sama juga boleh dikenakan kepada mana-mana syarikat yang tertakluk kepada EIA namun melanggar ketetatapan itu

Beliau mendedahkan projek tanaman durian Musang King di gunung berkenaan tidak mempunyai EIA kerana kelulusan yang diberikan pada Julai 2013 adalah bagi tanaman getah klon balak.

“JAS sedang melengkapkan siasatan terperinci mengenai perkara itu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

“Syarikat itu membangunkan projek durian Musang King sedangkan kelulusan EIA diperoleh adalah bagi tujuan ladang hutan iaitu tanaman getah klon balak.

“Oleh itu, mereka tidak mematuhi syarat kelulusan EIA kerana dalam laporan itu hanya untuk penanaman getah klon balak.

“Namun kita perlu lengkapkan siasatan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya kepada BH.

Penanaman pokok durian Musang King di Gunung Inas mula mendapat perhatian apabila ia dikaitkan dengan bencana banjir dan banjir piung yang meragut nyawa dan menjejaskan 12 kampung di sekitar daerah Baling, dalam kejadian 4 Julai lalu.

Dalam tragedi itu, tiga penduduk terkorban, lebih 800 rumah penduduk terutama di Kampung Iboi serta sekitar Kupang terjejas, termasuk 15 kediaman lenyap dengan 18 lagi rosak teruk terkena kayu balak hanyut yang dibawa kepala air dari arah gunung.

Bulan lalu, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah, mengesahkan pentadbirannya menerima cadangan dikemukakan ECK Development Sdn Bhd yang merancang menjadikan Gunung Inas sebagai ladang durian Musang King berskala besar pada 2018.

Kawasan Hutan Simpan Kekal di Gunung Inas ditukar statusnya kepada ladang pertanian oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2007 sebelum dijenamakan semula sebagai ladang sejahtera oleh PAS pada 2008.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut mempersoalkan sama ada proses ‘pembersihan’ kawasan hutan di Gunung Inas mendapat kelulusan EIA dari JAS.

Semalam BH dalam laporan muka depannya mendedahkan kawasan seluas 600 hektar di puncak Gunung Inas yang digondolkan untuk tujuan penanaman ladang durian Musang King berskala besar mengalami kerosakan teruk dan sukar dipulihkan dalam tempoh terdekat.

Wartawan, jurugambar dan juru video BH membuat tinjauan dengan melakukan pendakian selama tujuh jam ke puncak Gunung Inas yang berketinggian hampir 1,000 meter baru-baru ini untuk melihat sendiri kerosakan di puncak gunung itu.

Tinjauan BH juga mendapati tiada lagi sebarang aktiviti di puncak gunung itu dan kelihatan terbiar selepas dipercayai ditinggalkan pekerjanya sejak beberapa bulan lalu.

Dalam pada itu, Wan Abdul Latiff mengakui JAS menerima permohonan bagi menukar jenis tanaman dari getah klon balak untuk tanaman pokok durian pada Jun lalu dan sehingga kini ia masih di peringkat penelitian.

Beliau berkata, pihaknya akan menyelesaikan isu permohonan ini sama ada ia diluluskan atau tidak pada bulan ini.

“Langkah tambahan perlu diambil sekiranya permohonan ini bagi tujuan tanaman durian itu diluluskan khususnya dari aspek kawalan pencemaran.

“Kita akan meneliti dulu… ada keperluan untuk jawatankuasa penilaian teknikal bagi mengadakan mesyuarat semula,” katanya.

Beliau berkata, penebangan bersih kawasan hutan Gunung Inas bagi projek ladang sejahtera 14 tahun lalu juga tidak pernah dirujuk kepada JAS.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.