Himpunan jalanan hanya rosakkan usaha kerajaan memulihkan ekonomi dan negara
3 min read
Kumpulan mahasiswa mengadakan himpunan Turun di kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur kononnya menuntut harga barangan diturunkan oleh kerajaan dan juga mereka menuntut lima perkara lain. Foto SEPATAH DUA MEDIA.
Kumpulan yang memihak kepada pembangkang dan juga yang tidak suka kepada kerajaan sepatutnya tidak mengganggu proses pemulihan negara dari pandemik sekarang ini dengan mengadakan demonstrasi menuntut macam-macam perkara.
Kerajaan sudah berusaha mengambil apa sahaja langkah yang perlu untuk membantu kekurangan rakyat, mengatasi masalah negara dengan apa cara sekalipun dengan matlamat membantu rakyat.
Negara sekarang masih dalam proses pemulihan dari krisis besar melibatkan seluruh dunia iaitu wabak penyakit COVID-19.
Kerajaan melalui kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya melakukan pelbagai usaha untuk bawa negara keluar dan kini sedang berada dalam fasa peralihan endemik.
Dalam fasa ini, dengan berhati-hati kerajaan buka semula sektor ekonomi seluruh negara secara berperingkat-peringkat dan masih ikut prosedur operasi standard yang ketat bagi memastikan pandemik tidak berulang semula pada masa akan datang.
Imej negara di pandangan negara luar juga perlu dijaga supaya keadaan dalam dari segi ekonomi dan kestabilan dapat menarik pelabur asing datang ke negara ini membawa masuk pelaburan besar.
Beribu rakyat menerima kesan dan akibat daripada pandemik ini sampai ada yang dipotong gaji, hilang pekerjaan serta hilang punca rezeki. Perniagaan banyak yang terpaksa tutup dan gulung tikar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pernah dilaksanakan sebelum ini menghalang dari ekonomi negara dipacu dengan baik.
Akibatnya, Perdana Menteri era pandemik Tan Sri Muhyiddin Yassin sampai letak jawatan dek kerana tidak berjaya mengemudi negara dengan baik.
Selepas Ismail Sabri yang merupakan Ahli Parlimen Bera dilantik, beliau terus membawa seluruh rakyat dalam negara ini menjadi satu dibawah konsep Keluarga Malaysia. Sesebuah negara akan ditabdir dengan lebih mudah melalui konsep kekeluargaan.
Banyak masalah berjaya diselesaikan dengan pentadbiran yang berkesan. Ismail Sabri berjaya halang cubaan monopoli jualan ayam dan mematahkan cubaan kartel ternakan ayam.
Hasil daripada beberapa langkah cepat yang diambil seperti menyekat sementara eksport ayam ke luar negara selepas bekalan dalam negara berkurangan harga ayam yang meningkat melebihi harga siling sebelum ini kembali turun dan kembali normal.
Isu berkaitan bekalan minyak masak juga dapat diselesaikan.

Tidak lama kemudian beberapa kumpulan yang menyebelahi pihak yang tidak menyukai kerajaan khususnya Barisan Nasional (BN) bertindak mengadakan demonstrasi jalanan dengan niat memburuk-burukkan kerajaan.
Himpunan yang dijalankan juga dikatakan membantah kenaikan harga dan juga mengkritik kerajaan dengan mendakwa kerajaan yang ada gagal.
Padahal semua masalah sudah diberikan perhatian dan diselesaikan dengan baik oleh kerajaan.
Usaha ini tidak lain hanya untuk kembali meletakkan negara dalam keadaan lemah supaya pelabur takut dan kemudian ekonomi akan kembali bermasalah.
Sejak Ismail Sabri memegang jawatan, ekonomi kembali meningkat dengan positif dan peningkatan jumlah mereka yang bekerja mencecah 400,000 orang.
Hasil daripada pengurusan dan kawal selia serta kepimpinan yang berani dan telus, kadar inflasi negara berada di paras yang terkawal.
Penggunaan strategi menipu serta menghasut rakyat dengan memutarbelit fakta berkaitan isu semasa adalah tidak betul dan ia adalah satu kesalahan. Penyebaran maklumat palsu boleh menimbulkan suasana yang tidak tenteram di kalangan rakyat.
Himpunan jalanan ialah cara yang sudah lapuk.
Kemelut pandemik telah membuktikan BN merupakan parti yang berjaya bawa keluar negara dari masalah, tapi pembangkang dan para pengikutnya bawa negara kembali dalam masalah.
Jadi, rakyat sekarang tahu menilai bagaimana kerajaan yang sebenarnya layak menerajui negara. – SEPATAH DUA