Perbicaraan kes 1MDB saksikan kemunuculan pertama Najib selepas dua hari di penjara
2 min readDatuk Seri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 8.27 pagi tadi bagi menghadapi perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion.
Najib dilihat dibawa menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam dan diiringi pihak polis dan Jabatan Penjara.
Ia adalah penampilan pertama Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan selepas dua hari menjalani hukuman di Penjara Kajang.Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan hari ini berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.Pada Selasa lalu, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Prosiding hari ini akan bersambung dengan mahkamah mendengar keterangan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, yang akan diperiksa semula oleh pendakwaan.
Esok, Najib sekali lagi akan dibawa dari penjara ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan dakwaan kes pindaan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Setakat ini, keadaan di sekitar perkarangan mahkamah tenang tanpa kehadiran ramai penyokong dan hanya petugas media yang hadir seawal jam 8 pagi.
Najib diiringi pegawai penjara ke dalam mahkamah untuk bicara kes 1MDB
Selepas tiba di mahkamah, Najib yang memakai kot biru gelap diiringi pegawai penjara dari bilik lokap ke Mahkamah Tinggi 1 di tingkat 4 melalui laluan khas Orang Kena Tuduh (OKT) dan ditempatkan ke dalam bilik saksi sebelum dibawa melalui laluan dalam terus ke bilik mahkamah.
Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Dalam kes penyelewengan dana 1MDB, Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan.
Prosiding hari ini bersambung dengan saksi ke-26 pendakwaan, bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan ketika itu, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa disoal balas oleh Muhammad Shafee.
Perbicaraan hari ini agak di luar kebiasaan kerana biasanya hanya beberapa media tempatan saja yang mengikuti perjalanan prosiding yang sudah mendengar keterangan 26 saksi, bagaimanapun hari ini seramai 23 pemberita tempatan dan luar negara mendaftarkan diri untuk mengikuti prosiding berkenaan.
© Berita Harian