September 25, 2022

Tiket konsert Fabio Asher laris, pengajur tukar lokasi

1 min read

Susulan sambutan luar biasa diterima, penganjur konsert Fabio Asher Live In Kuala Lumpur terpaksa menukar lokasi di Panggung Asia, Gombak ke Megastar Arena, Viva Shopping Mall, Cheras pada 14 Oktober depan.

Pengarah Urusan Relevent, Mohd Hazrin Nordin Osman berkata, pertukaran ke lokasi lebih besar bertujuan memberi peluang lebih ramai peminat penyanyi popular dari Indonesia datang menyaksikan persembahannya.

“Sejujurnya, kami tidak menyangka tiket konsert habis dijual dalam tempoh setengah jam pada 25 Ogos lalu.

“Disebabkan itu, ramai peminat penyanyi yang popular menerusi lagu Rumah Singgah tidak puas hati dan meminta kami membuat show tambahan.

“Bagaimanapun, permintaan agak sukar ditunaikan berikutan jadual penyanyi berkenaan cukup padat. Selepas mengadakan perbincangan, akhirnya kami memutuskan menukar lokasi lebih besar supaya lebih ramai penonton dapat menyaksikan persembahan Fabio,” katanya.

Tambah Mohd Hazrin, lokasi baharu boleh memuatkan 1,300 penonton sebagai tambahan kepada mereka yang sudah membeli tiket sebelum ini.

“Sejajar perubahan lokasi, harga tiket juga akan bertambah. Bagaimanapun, untuk peminat yang sudah membeli tiket berharga RM88 dan RM108 tidak perlu risau. Anggap sahaja itu rezeki anda.

“Untuk penjualan tiket sesi kedua, kami juga akan menyediakan tempat duduk iaitu kategori VIP dan ia terhad kepada 300 penonton sahaja,” katanya.

Tiket konsert bakal berlangsung pada 14 Okotober depan itu sudah mula dijual semalam menerusi laman sesawang www.fabiosherklubertickets.my.

Nama Fabio yang juga bekas peserta X Factor Indonesia itu mula meledak selepas muncul dengan single perdana berjudul Bertahan Terluka.

Fabio kemudiannya mencetuskan fenomena apabila lagu Rumah Singgah, yang juga single kedua popular di aplikasi TikTok.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.