Azeem Fahmi siap sedia tawan trek SUKMA 2022
2 min readPemegang rekod kebangsaan 100 meter (m), Muhammad Azeem Fahmi sudah bersedia untuk menggegarkan trek Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 MSN 2022 yang akan berlangsung bermula 16 hingga 24 September ini.
Jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah, berkata pelari berusia 18 tahun itu yang akan mewakili Perak berada pada tahap terbaiknya untuk beraksi dalam tiga acara iaitu 100, 200 dan 4x100m pada edisi kali ini yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Persiapan Azeem berjalan dengan baik, tiada masalah dari segi kecederaan. Apa yang saya boleh katakan, dia berada pada tahap terbaiknya dan hanya menunggu hari pertandingan.
“Sebagai jurulatih, saya tidak meletakkan sebarang sasaran. Sebaliknya, saya cuma mengharapkan dia buat yang terbaik dan kalau dia meraih pencapaian yang lebih baik berbanding pencapaian sebelum ini, itu saya kira bonus untuk dia,” katanya.
Kelibat Azeem pada SUKMA kali ini sudah pastinya dinantikan peminat sukan tempatan susulan kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m dengan catatan 10.09 saat (s) ketika Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, bulan lalu.
Catatan itu menyaksikan Azeem memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan 10.18s ketika dia memenangi pingat emas pada SUKMA 2016 di Sarawak.
Dia yang layak sehingga peringkat akhir di Colombia bagaimanapun terpaksa akur menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 10.14s.
Amir, bagaimanapun mengingatkan anak didiknya itu agar tidak terlalu yakin dengan status selaku pemegang rekod kebangsaan selain tidak memandang rendah kemampuan atlet lain.
Katanya, beberapa atlet termasuklah Muhammad Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan, Muhammad Arsyad Md Saat (Johor) dan Muhammad Fakhrul Abdul Aziz (Pulau Pinang) dijangka mampu menggugat Azeem pada saingan kali ini.
“Kita tidak boleh pandang rendah kemampuan atlet lain kerana mereka juga melakukan persiapan rapi bagi menghadapi SUKMA kali ini. Azeem perlu sentiasa berwaspada,” katanya.
© Berita Harian