September 25, 2022

Kes meminta rasuah – dua pegawai dan seorang anggota polis ditahan reman bantu siasatan

1 min read

Dua pegawai polis dan seorang anggota ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan satu kes meminta rasuah berjumlah RM180,000, bulan lalu.

Majistret R Salini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor untuk menahan reman tiga individu berkenaan.

Perintah itu diberikan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas ketiga-tiga suspek mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Suspek terdiri daripada seorang ketua bahagian sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini dan seorang inspektor masing-masing berusia 36 tahun serta seorang sarjan 33 tahun.

Ketiga-tiga mereka ditahan antara jam 4.25 petang hingga 5 petang semalam di IPD itu.

Terdahulu, mereka tiba di mahkamah jam 8.15 pagi dengan berpakaian lokap dan tangan bergari diiringi pegawai SPRM.

Difahamkan, seorang pemilik sebuah kilang kayu berusia 50-an membuat laporan sebaik seorang pegawai polis meminta wang rasuah berjumlah RM160,000 pada 29 Ogos lalu.

Wang itu dipercayai bagi menyelesaikan kes pengadu dan isterinya yang terbabit dalam satu kes penipuan.

Sehari sebelum itu, pengadu mendakwa dia ada menyerahkan RM20,000 kepada seorang anggota polis wanita untuk tujuan yang sama.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.