September 28, 2022

Lee Jung-jae cipta sejarah, Squid Game turut cemerlang di Anugerah Emmy 2022

1 min read

Pelakon Korea Selatan, Lee Jung-jae, 50, mencipta sejarah menjadi pelakon luar negara pertama menang trofi Pelakon Lelaki Utama Terbaik Dalam Drama Bersiri di Anugerah Emmy 2022 yang berlangsung di Microsoft Theater, hari ini.

Meskipun kemenangannya menerusi Squid Game itu sudah dijangka ramai, saingannya dalam kategori terbabit sangat sengit termasuk Jason Bateman menerusi siri Ozark, Brian Cox dan Jeremy Strong (Successio) dan Adam Scott (Severance).

Dalam ucapannya, Lee berterima kasih kepada pengarah serta pencipta Squid Game, Hwang Dong-hyuk kerana menghidupkan drama terbabit dengan begitu luar biasa.

“Terima kasih pengarah berjaya mengangkat masalah hidup realistik yang kita semua hadapi menjadi lebih hidup dengan begitu kreatif di skrin selain skrip serta visual luar biasa,” katanya.

Bukan setakat Jung-jae, Squid Game turut cemerlang apabila Dong-hyuk dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Siri Drama pada anugerah berprestij itu.

Pengarah terbabit tampil ke pentas memberi ucapan tanpa diiringi penterjemah bahasa dan berucap sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

Drama Succession ciptaan Jesse Armstrong dinobatkan sebagai Siri Drama Terbaik, Ted Lasso (Siri Komedi Terbaik), The White Lotus (Siri Pendek Terbaik), manakala Penulisan Terbaik Dalam Siri Drama turut dimenangi Armstrong menerusi Succession.

Acara kali ini menampilkan Kenan Thompson sebagai hos utama.

© Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published.