September 28, 2022

Pengebumian Ratu Elizabeth II – siapa dijemput?

2 min read

Ratusan kerabat diraja luar dan ketua negara dijangka menghadiri pengebumian Ratu Elizabeth II di London hari ini, menjadikan ia sebagai salah satu perhimpunan diplomatik terbesar dalam beberapa dekad ini.

Westminster Abbey mempunyai ruang untuk kira-kira 2,000 orang dan kira-kira 500 ketua negara serta pembesar asing bersama rakan kongsi mereka dijangka hadir, menurut laporan BBC dan Sky News.

Yang turut hadir dalam istiadat pengebumian negara pertama Britain selama enam dekad itu adalah ahli keluarga ratu, pembesar istana, tokoh masyarakat dan ahli politik United Kingdom (UK).

Malah, sebilangan besar kerabat diraja dari Eropah dan yang lain juga sudah mengesahkan kehadiran mereka, termasuk Maharaja Jepun Naruhito dan Maharani Masako.

Raja Harald V dari Norway, Putera Albert II dari Monaco, Raja Belanda, Willem-Alexander, Raja Sweden Carl XVI Gustaf dan Raja Belgium, Philippe, semuanya juga akan hadir.

Permaisuri Denmark, Margrethe II, turut membatalkan satu siri acara menandakan jubli ke-50, juga akan datang.

Selain itu, Raja Sepanyol, Felipe VI juga akan berada di sana bersama isterinya, Ratu Letizia termasuk bapanya yang kini tinggal dalam buangan di Emiriah Arab Bersatu.

Walaupun Mohammed bin Salman, putera mahkota Arab Saudi dan pemerintah de factonya dijemput, namun semalam beliau disahkan tidak akan hadir.

Selain itu, isteri Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky iaitu Olena, juga kelihatan selepas beliau melawat keranda ratu di Westminster Hall pada Ahad lalu.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan isterinya Jill akan mengetuai senarai tetamu diplomatik dan terbang ke Britain lewat kelmarin, turut memberi penghormatan di hadapan keranda semalam.

Mereka hadir menggunakan limosin berperisai yang dikenali sebagai The Beast.

Istana Elysee berkata, Presiden Perancis, Emmanuel Macron akan hadir bagi menunjukkan ikatan yang ‘tidak dapat dipisahkan’ dengan Britain serta memberi penghormatan kepada ‘ratu abadi’.

Presiden Recep Tayyip Erdogan dari Turki dan Jair Bolsonaro dari Brazil juga akan datang, manakala China akan menghantar naib presidennya, Wang Qishan, atas jemputan kerajaan UK.

Walaupun Britain sudah berpisah melalui Brexit daripada Kesatuan Eropah, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dan Ketua Majlis Eropah Charles Michel juga akan hadir memberi penghormatan.

Antara ketua negara lain hadir pengebumian itu termasuk Presiden Itali, Sergio Mattarella, Frank-Walter Steinmeier (Jerman), Isaac Herzog (Israel) dan Yoon Suk-yeol (Korea Selatan).

Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin juga hadir memberi penghormatan kepada mendiang yang pernah melakukan lawatan pada 2011 ke negara itu membantu memulihkan ketegangan berdekad lamanya.

Pembesar lain yang hadir adalah Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese dan New Zealand, Jacinda Ardern.

Pemimpin juga akan datang dari 56 negara Komanwel, termasuklah Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe dan Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama.

Disebalik hubungan yang tegang, UK juga memilih hanya menjemput duta, bukan ketua negara, iaitu dari beberapa negara antaranya Iran, Nicaragua dan Korea Utara.

Bagaimanapun, Russia dan Belarus adalah antara sekumpulan kecil negara yang dikecualikan sama sekali berikutan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Negara lain yang tiada jemputan ialah Myanmar, Syria, Venezuela dan Afghanistan yang dikuasai Taliban.

Leave a Reply

Your email address will not be published.