September 27, 2022

Hajat tunaikan haji tak kesampaian, duit tabungan musnah dimakan anai-anai

2 min read

Impian sebuah keluarga di Solo, Jawa Tengah, Indonesia yang mahu menunaikan haji bersama berkecai apabila hasil tabungan mereka musnah dimakan anai-anai.

Lebih menyedihkan, wang simpanan berjumlah 50 juta rupiah (RM15,181) tersebut lebur sekelip mata selepas lebih dua tahun mereka menabung.

Lapor Tribunnews, kisah Samin yang berkerja sebagai pengawal keselamatan sekolah itu tular di media sosial dan meraih simpati ramai pihak.

Cerita lelaki berusia 53 tahun itu, beliau pada mulanya mahu memeriksa kesemua duit yang disimpan di dalam tabung plastik di rumah beliau baru-baru ini.

Namun, lelaki berkenaan terkejut apabila hampir separuh wang kertas yang dikumpul bersama isteri dan dua anaknya rosak teruk.

“Habis semua wang kertas menjadi kepingan kecil disebabkan dimakan anai-anai,” katanya.

Menurut portal itu lagi, Samin membiarkan tabung simpanan tersebut di dalam rumahnya kerana tidak mahu berulang-alik ke bank.

“Saya tidak terfikir wang di dalam tabung akan rosak sebab simpan dalam bekas plastik dan biarkan ia penuh dahulu baru periksa.

“Kami sekeluarga tak putus-putus menyimpan sekurang-kurangnya 100,000 rupiah (RM30) atau 50,000 rupiah (RM15) setiap hari, namun lain pula yang jadi,” katanya.

Pun begitu, Samin bersyukur apabila sebahagian wang simpanan masih boleh diselamatkan.

Ini kerana selepas dihitung kesemua duit tersebut, jumlah keseluruhan mencecah lebih 100 juta rupiah (RM30,363).

Pengawal keselamatan itu cuba untuk menyelamatkan sisa wang yang rosak ke bank berhampiran, namun keputusannya pada awalnya cukup mengecewakan.

Sementara itu, Ketua Pejabat Perwakilan Bank Indonesia Solo, Nugroho Joko Prastowo berkata, wang kertas yang rosak boleh diganti baharu dengan syarat tertentu.

“Duit tersebut mestilah yang asli dan masih berbentuk sekurang-kurangnya dua pertiga atau 68 peratus daripada ukuran asal,” katanya.

Selepas disemak, sebanyak 20 juta rupiah (RM6,068) yang rosak sahaja boleh diselamatkan.

MASIH ADA REZEKI

Selepas tular kisah malang keluarga itu, difahamkan tawaran percuma untuk menunaikan umrah dan haji datang bergolek.

Sekurang-kurangnya 10 tawaran diterima Samin dan keluarganya daripada individu yang prihatin dengan insiden yang menimpa mreka.

Pun begitu menurut Samin, dirinya yang masih bersedih belum membuat keputusan rasmi sama ada mahu menerima peluang tersebut atau sebaliknya.

“Alhamdulillah ramai yang mahu bantu, tapi saya mahu menenangkan fikiran dahulu. Saya bimbang akan timbul masalah lain,” katanya.

Kejadian malang tersebut turut menerima reaksi Datuk Bandar Solo, Gibran Rakabuming Raka.

Pemimpin berkenaan menasihatkan penduduk supaya mengambil iktibar dengan apa yang berlaku dan bertindak bijak dengan menyimpan wang di bank.

“Saya ambil maklum dengan kejadian yang berlaku dan pihak bank juga sudah menjelaskan hal sebenar.

“Melihat niat yang murni mahu menunaikan haji, saya terpanggil untuk membantu keluarga tersebut,” kata putera sulung kepada Presiden Joko Widodo itu yang memetik melalui portal sama.

Menabung memang amalan yang mulia, namun cara simpanan kena betul ya kerana bimbang kejadian yang menimpa Samin boleh berulang.

Semoga insiden yang berlaku memberi iktibar kepada semua.

© Sinar Plus

Leave a Reply

Your email address will not be published.