Semua pertuduhan bunuh digugurkan Ibu Tangmo
1 min read
Kematian aktres Thailand, Tangmo Nida atau nama asalnya Pataratida Patcharawirapong menjadi perhatian ramai.
Warga maya di seluruh dunia termasuk Malaysia tidak ketinggalan mengikuti penyiasatan kes kematian pelakon jelita itu.
Tujuh bulan selepas jasadnya tersebut ditemui lemas terjatuh dari bot laju di Sungai Chaophraya, mahkamah telah memerintahkan kesemua enam defendan dalam kes itu membayar ganti rugi kepada ibu Tangmo, Panida Siriyuthayothin.
Hari ini, Mahkamah Wilayah Nonthaburi memerintahkan kesemua enam defendan membayar wang pendahuluan kolektif sebanyak 2 juta baht ( RM244,702.23) sebagai ganti rugi kepada Panida.
Sebanyak 400,000 baht (RM48,940.45) telah dibayar secara tunai manakala 1.6 juta baht (RM200,000) dibayar menggunakan cek.
Panida juga akan menerima bayaran bulanan sebanyak 30,000 baht (RM3,662) yang dibayar oleh keenam-enam defendan.
Tempoh penerimaan bayaran oleh Panida tidak dapat disahihkan. Portal KhaoSod melaporkan bahawa Panida akan menerima bayaran tersebut selama 20 tahun manakala Amarin dan Sanook melaporkan bahawa wanita itu akan menerimanya setiap bulan sehingga dia meninggal dunia.
Selain itu, salah seorang defendan turut menghadiahkan anting-anting yang dianggarkan bernilai 500,000 baht (RM61,175.56) kepada ibu Tangmo di mahkamah.
Panida dilaporkan berpuas hati dengan perjanjian ganti rugi dan bayaran yang bakal diterima serta menggugurkan semua tuduhan pembunuhan.
© Sinar Plus