December 9, 2022

Jepun dilanda Taufan Talas

1 min read

Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh, ketika Taufan Talas yang kini menghampiri Jepun, menyebabkan hujan lebat dan ribut besar di negara itu.

Berdasarkan laporan media tempatan, mangsa yang maut berusia 40-an selepas rumahnya musnah ditimpa tanah runtuh di Kakegawa, Shizuoka.

Menurut stesen penyiar NHK, kejadian tanah runtuh berasingan di Hamamatsu pula menyebabkan tiga individu termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun mengalami kecederaan ringan.

Polis bagaimanapun belum mengesahkan mengenai laporan itu.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), taufan Talas kini ‘berlegar’ berhampiran timur laut negara itu, iaitu 100 kilometer (km) dari pantai Omaezaki yang dikesan pada jam 6 pagi (waktu tempatan) semalam.

Berdasarkan maklumat JMA, taufan itu membawa angin dengan kelajuan maksimum 90km sejam.

Agensi itu sudah mengeluarkan amaran berhubung ombak kuat, hujan lebat, tanah runtuh dan banjir di kawasan tengah, timur dan utara Jepun termasuk di Tokyo.

Jepun kini berada dalam musim taufan dan berdepan kira-kira 20 keadaan ribut setahun yang menyebabkan hujan lebat, banjir serta tanah runtuh.

Minggu lalu, empat mangsa terbunuh dan 151 cedera selepas taufan Nanmadol membadai barat daya Jepun.

Menurut saintis, perubahan iklim menyebabkan skala ribut semakin serius sehingga menyebabkan cuaca ekstrim seperti gelombang haba, kemarau dan banjir kilat menjadi lebih kerap dan teruk.

© Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *