Skuad terjun negara tidak bersedia
2 min readSkuad terjun negara yang beraksi di Piala Dunia FINA 2022 di Berlin, Jerman minggu lalu dirumuskan ‘tidak bersedia’ sehingga gagal menyerlah dan membawa pulang pingat.
Pandangan itu dilontarkan pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli yang berpendapat penghantaran skuad itu tidak serius kerana hanya disertai tiga penerjun negara yang diketuai Datuk Pandelela Rinong Pamg, Bertrand Rhodict Lises dan Chew Yiwei.
Pekan turut berpandangan, edisi di Jerman kali ini juga mungkin tiada dalam prospek kejohanan yang harus diberikan tumpuan namun keputusan diraih perlu dijadikan sebagai isyarat betapa sukan terjun kini memerlukan pelapis berwibawa selepas ini.
“Kita kena sedar bahawa kita tak sepatutnya bergantung kepada penerjun lama. Penerjun baharu harus bersedia untuk mengambilalih tanggungjawab atlet senior. Apabila tak ada penerjun lama ini yang menghampiri tempoh bersara maka penerjun baharu harus bersedia.
“Seperti acara 10 meter (m) kita sentiasa menyandar harapan kepada Pandelela… sepatutnya ada penerjun baharu yang standard, kualitinya menghampiri, menyamai atau lebih baik daripada Pandelela.
“Di sini pun (Jerman), penyertaan kurang, jadi kita tak tahu sama ada kejohanan ini berada dalam sasaran mereka pada kali ini, kejohanan ini bukan satu kejohanan yang ditunggu-tunggu seperti Olimpik.
“Jadi, mungkin itu tidak begitu betul-betul bersedia. Untuk edisi kali ini juga, saya lihat seperti kita tak bersedia dan kita tak menghantar ramai penerjun. Apapun, pencapaian di Piala Dunia ini serius atau tidak, kita sepatutnya melahirkan pelapis yang boleh menyinar untuk mengambilalih tugas penerjun senior.
“Namun sekarang, tidak nampak yang baharu ataupun ratu terjun baharu… siapa agaknya yang bakal muncul sebagai ratu terjun baharu negara kita? Yang lelaki, tenggelam. Jadi bagi saya, mungkin di kejohanan ini kita tak bersedia sepenuhnya.
“Mungkin kita akan lebih menyinar dan memberi tumpuan pada temasya ataupun kejohanan lebih besar pada tahun depan,” kata Pekan.
Pada edisi di Berlin itu, Pandelela menduduki tempat keenam daripada lapan peserta di pentas final acara 10m platform wanita manakala Yiwei turut berada di kedudukan sama daripada 12 peserta dalam acara 3m papan anjal wanita.
Rhodict pula berada di kedudukan kesembilan daripada 11 peserta dalam acara 10m platform lelaki dan ketiga-tiga penerjun negara itu berada di tangga kelima daripada lima negara yang menyertai acara 3m dan 10m berpasukan campuran.
© Berita Harian