Sabah jadi destinasi Mesyuarat Agung Tahunan MKHA Ke-7
2 min read
Para perwakilan yang akan hadir ke Mesyuarat Agung Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) di Sabah ketika sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam selepas disambut oleh Presiden MKHA, Zohaime Muhamad Sori (duduk, kiri, dua dari kanan).
Negeri Sabah kali ini menghimpunkan kira-kira 150 orang perwakilan pengusaha Homestay dan Kampungstay berdaftar di negara ini untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) kali ke-7.
Pelbagai program dijadualkan sempena mesyuarat berkenaan bermula semalam hingga 1 November nanti bertempat di beberapa daerah di Sabah dikelolakan oleh Presiden MKHA, Zohaime Muhamad Sori.
Para perwakilan sebaik tiba di Kota Kinabalu kemudian akan melawat serta merasai pengalaman menginap di tiga buah Homestay di Sabah bersama keluarga angkat dengan mengadakan pelbagai aktiviti.
Mereka ditempatkan di Homestay Taun Gusi di Kota Belud, Homestay Desa Cinta Kobuni di Kota Kinabalu dan Homestay Tanak Nabalu juga di Kota Belud.
Kali ini para perwakilan terdiri dari pengusaha Homestay dari Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Para perwakilan dari negeri Melaka ditempatkan di Homestay Taun Gusi yang terletak di Kota Belud dalam kawasan yang terletaknya jelapang padi di negeri Sabah yang juga dikenali sebagai periuk nasi Sabah.
Mereka ditempatkan di beberapa rumah pengusaha homestay yang akan menjadi ibu dan bapa angkat untuk merasai pengalaman duduk bersama dengan mereka.
Semalam, perwakilan dari Melaka dibawa ke kawasan sawah pagi berhampiran Kampung Taun Gusi yang merupakan kawasan sawah padi antara yang luas di serta sudah menjadi tumpuan ramai untuk mengambil gambar pemandangan cantik khususnya pemandangan gunung tertinggi di Malaysia, Gunung Kinabalu.

Menurut Pemandu Pelancong, Jimmy Watiman pasangan pengantin pun menjadikan lokasi itu untuk lokasi mengambil gambar perkahwinan dek pemandangannya yang cantik.
Pada hari kedua, perwakilan negeri Melaka disajikan dengan persembahan permainan alat muzik yang dipanggil Betitik seakan-akan sama dengan Gamelan yang merupakan persembahan tradisionnal etnik Bajau di Sabah.
Selepas itu semua perwakilan bertolak pergi ke Kundasang menaiki bas untuk menginap di Homestay Walai Tokou di Kundasang yang terletak dalam daerah Ranau di Sabah
Kawasan peranginan Kundasang amat popular dengan cuacanya yang sejuk serta pemandangan Gunung Kinabalu yang amat dekat. – SEPATAH DUA